Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

Jualan kenderaan meningkat



Pelancaran pelbagai model baharu kenderaan menjadi faktor utama peningkatan jualan kenderaan tahun ini. - GAMBAR HIASAN


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Jualan kenderaan di Malaysia bagi 11 bulan pertama 2011 meningkat sebanyak 2,170 buah kepada 552,561 buah berbanding 550,391 buah dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, pengeluaran kenderaan bagi tempoh itu menyusut sebanyak 24,439 buah kepada 501,755 buah berbanding 526,194 buah dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, statistik menunjukkan jualan kenderaan komersial telah mencatatkan peningkatan yang baik dalam tempoh 11 bulan pertama 2011 dengan pertumbuhan sebanyak enam peratus berbanding tahun lalu.
Sebanyak 59,677 buah kenderaan komersial terjual bagi tempoh 11 bulan pertama 2011 berbanding 56,127 buah dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Jualan kenderaan penumpang bagaimanapun menyusut sebanyak 1,380 buah kepada 492,884 buah berbanding 494,264 buah dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Statistik jualan kenderaan pada bulan November sahaja turut mencatatkan peningkatan sebanyak 3,857 buah kepada 48,702 buah berbanding 44,845 buah dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, pengeluaran kenderaan pada November menyusut sedikit kepada 35,555 buah berbanding 36,265 buah dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Manakala perbandingan bulan November dan Oktober pula, jualan kenderaan pada November menyusut sebanyak sembilan peratus berbanding bulan Oktober 2011, kata MAA.
Bagaimanapun, MAA memberitahu, perbandingan dari tahun ke tahun telah menyaksikan peningkatan jualan pada November 2011 iaitu sebanyak sembilan peratus berbanding November 2010.
Jelas kenyataan itu lagi, punca penyusutan jualan kenderaan pada November berbanding Oktober 2011 adalah disebabkan gangguan pengeluaran kenderaan disebabkan banjir besar di Thailand.
Mengenai ramalan jualan dan pengeluaran kenderaan pada Disember, MAA telah menetapkan kadar pertumbuhan jualan sederhana.
Jelas MAA, impak banjir di Thailand masih dirasai pada bulan ini dan ia turut menjejaskan sektor bekalan kenderaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...