Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

Bekas pengarah didakwa kemuka laporan palsu


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah urusan syarikat import eksport dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas lima pertuduhan membabitkan tuduhan mengemukakan serta membuat pernyataan laporan palsu, enam tahun lalu.
Tertuduh, Teoh Hun Siang, 38, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa memperdayakan pengarah syarikat Xiang De Sdn Bhd dengan mengemukakan tiga penyata kewangan palsu antara 2005 dan 2007 dengan mendakwa laporan itu disediakan juruaudit Eng Teh & Associates. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 3-2, Jalan Metro Perdana Timur 1, Taman Usahawan Kepong, di sini, antara 18 Oktober 2007 dan 26 Februari 2009.
Selain itu, tertuduh sebagai pengarah syarikat tekstil, Manhara Fashion Sdn Bhd didakwa melakukan perbuatan sama dengan mengemukakan satu laporan juruaudit bertarikh 12 Disember 2006 disediakan Eng Teh dalam penyata kewangan beraudit syarikat itu di 38-2, Jalan 25/70A, Desa Sri Hartamas, di sini, antara 12 Disember 2006 dan 17 Ogos 2007.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 364A(1)(a) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh sebagai pengarah Outsourcing Consortium Sdn Bhd didakwa membuat pernyataan palsu dalam butiran penyata tahunan 2006 syarikat berhubung pelantikan Eng Teh untuk mengaudit Outsourcing Consortium, padahal syarikat juruaudit itu tidak pernah bersetuju.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tingkat 2, Putra Place, Jalan Putra di sini, pada 16 September 2006.

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM350,000.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Steve Chin Yun Cheong manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan kes.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...