Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Diet seimbang ...elak keletihan berpuasa


Ibadat puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi turut mengandungi pelbagai hikmat tersembunyi yang menyihatkan tubuh badan. Justeru, amalan pemakanan seimbang adalah penting ketika menjalani ibadah berpuasa khususnya untuk mengelakkan keletihan dan mencapai kesejahteraan spiritual.
Malah, individu dinasihatkan membuat pilihan yang tepat dan bijak dalam memastikan pengambilan semua zat yang diperlukan oleh badan bagi keesokan harinya.
Penasihat Pemakanan Nestle (M) Bhd., Dr. Zawiah Hashim berkata, individu disyorkan mengambil makanan yang sama seperti biasa pada bulan Ramadan walaupun mungkin kategori masakan berbeza dan jumlah yang dimakan juga berlainan.
"Bulan Ramadan bukannya sesuatu yang memeritkan kerana individu tidak memerlukan perubahan dalam makanan. Apa yang membezakannya ialah tempoh seseorang itu mengosongkan perut hingga tiba waktu berbuka puasa.
"Yang membezakan kita berpuasa adalah waktu makan di bulan Ramadan dengan hari biasa,'' katanya.
Dalam bulan Ramadan seseorang hanya makan ketika berbuka puasa dan bersahur manakala hari biasa lima kali sehari seperti sarapan pagi, makan ringan sebelum waktu makan tengah hari, makan tengah hari, makan ringan sebelum waktu makan malam dan makan malam.
Jika difikirkan dari segi logiknya, seseorang yang berpuasa walaupun hanya mengambil dua menu sahaja dia tidak terlalu letih ataupun mudah pengsan memandangkan aktiviti fizikalnya berkurangan sepanjang berpuasa
Lantaran itu, untuk mengekalkan tubuh badan yang cergas seseorang itu harus mengamalkan kunci makanan seimbang iaitu keseimbangan, kepelbagaian dan sederhana.
"Jika ketiga-tiganya diamalkan, insya-Allah kesihatan mereka tidak terjejas,'' katanya lagi.
Tentang amalan di bulan Ramadan, Dr Zawiah berkata, individu tidak menghadapi masalah memilih makanan yang berkhasiat berikutan banyak gerai yang menjual pelbagai jenis hidangan yang lazat dan mencakupi kriteria pemakanan seimbang.
Sebaik-baiknya pastikan makanan yang dipilih mempunyai pelbagai zat seperti karbohidrat, protein, vitamin dan garam mineral.
Malah tidak menjadi halangan jika individu berselera memakan pelbagai nasi yang dijual seperti nasi tomato, nasi beriani ataupun mi setiap hari.
Keperluan pemakanan individu katanya, menjadi lengkap apabila bekalan kalori, vitamin, mineral dan fiber mencukupi untuk tubuh badannya.
"Ambillah makanan yang membekalkan karbohidrat seperti nasi, roti, mi dan ubi manakala protein terdiri daripada ikan, ayam, daging, telur dan susu. Lemak pula boleh didapati daripada minyak, vitamin dan mineral daripada sayur-sayuran dan buah-buahan,'' jelasnya.
Tidak dinafikan sesetengah orang mengalami penurunan berat badan dan ada juga yang naik berat badannya di bulan Ramadan.
Mereka yang mengalami penurunan berat badan disebabkan pengeluaran tenaga yang berlebihan seperti melakukan latihan dan aktiviti fizikal terutamanya yang berkerja seperti buruh binaan dan sebagainya lagi.
Golongan ini seharusnya menitikberatkan makanan berkabohidrat kerana ia memberi tenaga untuk meneruskan kerja berkenaan.
Bagaimanapun majikan disarankan supaya bertimbang rasa dan bertolak ansur dengan pekerja terbabit sepanjang tempoh mereka menjalani ibadat puasa.
Beliau juga tidak menafikan kelebihan mereka yang memakan kurma di awal berbuka puasa memandangkan kandungan gulanya yang tinggi dan mampu memberi tenaga setelah seharian berpuasa.
Mengulas pengambilan nasi sebelum sembahyang maghrib atau selepas bertarawih seperti yang sering dilakukan oleh masyarakat di negara ini, Dr. Zawiah berkata, bergantung kepada keselesaan seseorang kerana ia tidak memudaratkan kesihatan.
Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka jangan memakan terlalu gelojoh hingga perut sudah tidak mampu menerimanya.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak bangun sahur supaya keesokannya dia tidak berasa lapar dan terlalu letih.
Sebaik-baiknya anak-anak ini disarankan mengambil nasi dan sekiranya mereka enggan, ibu boleh menyediakan bijirin kepadanya yang diketahui mengandungi pelbagai khasiat vitamin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...