Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Puasa perisai nafsu


IBADAH puasa hukumnya fardu ain, iaitu ia wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam, menurut syarat-syarat yang tertentu.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya, Islam adalah didirikan atas lima rukun: Iaitu mengakui bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Kedatangan bulan ''Ramadan al-Mubarak'' yakni bulan yang penuh berkat ini tentulah ditunggu-tunggu dan dirindui oleh seluruh umat Islam, walau di mana mereka berada. Mentaati titah perintah Allah ini dengan khusyuk serta penuh takwa adalah menjadi idaman dan tekad setiap individu Muslim yang mendalam keimanannya terhadap Allah Azzawajalla.
Tujuan puasa itu sendiri adalah bagi mempersiapkan diri untuk bertakwa kepada Allah s.w.t, iaitu dengan memperhatikan dengan bersungguh-sungguh terhadap larangan Allah.
Menunaikan puasa ini semestinya disertakan dengan kesabaran kerana ia terlalu banyak pancarobanya, kita hendaklah sentiasa ingatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya ''Puasa itu separuh kesabaran.''
Sesungguhnya balasan Allah kepada orang-orang yang bersabar tidak pula disia-siakan. Dalam surah az-Zumar ayat 10, Allah memberi jaminan mafhumnya, Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.
Dari itu kerjakanlah amalan ini dengan seikhlas mungkin, selalu mengingat sabda Rasulullah s.a.w dan firman Allah seperti di atas kerana sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa sebagai benteng bagi para wali dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu daya syaitan dan angan-angannya.
Darjah puasa
Puasa sebenarnya mempunyai tiga jenis darjah atau tingkatannya;
* ''Puasa umum'' iaitu puasa bagi kebanyakan orang hanya dengan cara menahan diri dari makan, minum dan keinginan syahwatnya.
* ''Puasa al-khusus'' iaitu berpuasa dengan cara mengekang (menahan diri) dari makan, minum, memelihara syahwat serta mengawal anggota-anggota yang zahir seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan faraj daripada melakukan maksiat.
* ''Puasa khususul khusus'' iaitu berpuasa dengan cara memelihara segala perkara yang tersebut di atas tadi, sambil menjaga hatinya daripada berfikir mengenai hal-hal dunia dan sifat-sifat ria'. 'ujub, (merasa hebat dan bangga diri) takabbur dan lain-lain.
Keutamaan puasa
Sabda Rasulullah s.a.w mahfumnya, Tiap-tiap amalan anak Adam itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang sempurnanya hingga tujuh ratus ganda.
Firman Allah Taala melainkan puasa yang diamalkan untuk Aku, maka akulah yang akan membalasnya. Ia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku.
Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan - pertama gembira ketika ia berbuka dan keduanya gembira ketika menemui Tuhannya nanti. Demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
Puasa itu adalah perisai. Apabila salah seorang kamu berpuasa maka janganlah mencarut dan jangan berkelahi. Jika ada orang yang cuba mencerca dan hendak membunuhnya, katakanlah kepadanya, ''Sesungguhnya aku adalah orang yang berpuasa''
* Puasa dapat melatih disiplin dan akhlak yang mulia serta patuh kepada peraturan dan undang-undang.
* Orang yang berpuasa dilatih supaya membersih dan menguatkan rohaninya dengan disiplin-disiplin puasa serta ibadat-ibadaat lain yang digalakkan dalam sepanjang bulan puasa seperti membaca al-Quran, sembahyang tarawih dan sebagainya.
* Berpuasa boleh mendatangkan kekuatan jasmani, iaitu bahagian penghadaman di dalam perut kita dapat rehat dari kerjanya sepanjang tahun, ini boleh mendatangkan kesihatan.
* Puasa boleh mendatangkan kekuatan mental dan fikiran kerana ketika berpuasa semua perjalanan sistem darah dan saraf kita dapat berjalan dengan betul dan kurang menanggung beban. Ia mendatangkan kesihatan yang baik. Dengan itu fikiran bertambah tajam.
* Puasa boleh mendatangkan kekuatan iman, kerana dengan berpuasa boleh melemahkan keinginan nafsu yang menjadi punca segala kemaksiatan. Apabila seseorang tidak melakukan maksiat imannya bertambah kuat disamping puasa itu sendiri merupakan satu latihan bagi kekuatan iman.
* Puasa boleh mendatangkan perasaan insaf tentang kesusahan yang dideritai oleh orang-orang miskin yang tidak mendapat makanan yang sepatutnya. Mereka terpaksa bekerja keras dengan keadaan perut yang pedih kelaparan. Apabila berpuasa orang-orang kaya akan merasa insaf dan kasihan belas terhadap mereka dan ingin membantu mereka.
* Puasa boleh menimbulkan sifat-sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lainnya yang digalakkan oleh Islam.
* Selain dari menjaga kesihatan, puasa juga boleh menjauhkan kita dari setengah-setengah penyakit.
I'tikaf
I'tikaf menurut dari segi bahasa bermakna: ''Berhenti sebentar'' Adapun pengertian menurut istilah Syarii ialah: Berhenti atau duduk dalam masjid dalam jangka waktu yang ditentukan dengan niat untuk melakukan amal ibadat kepada Allah s.w.t. Ibadat yang dimaksudkan itu ialah seperti sembahyang sunat, zikir, doa, membaca al-Quran dan lain-lainnya. I'tikaf boleh dilakukan pada waktu malam atau siang. Hukum melakukannya ialah:
i. Sunat, terutama dalam bulan Ramadan
ii. Wajib, kiranya dinazarkan.
Menurut sejarahnya Nabi s.a.w. sentiasa mengerjakan i'tikaf dalam bulan Ramadan terutama pada sepuluh hari yang terakhir. Hal ini diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Saiyidatina Aisyah r.a. katanya, maksudnya, ''Adalah Rasulullah mengerja i'tikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan, sehinggalah ke saat Baginda wafat.''
Pada hadis yang lain ditambah lagi dengan rangkai kata yang bermakna: ''Setelah Baginda wafat, isteri-isteri Baginda terus mengerjakan i'tikaf''.
Walaupun i'tikaf itu hukumnya sunat, tetapi Rasulullah sangat mengutamakannya. Pernah terjadi, pada satu bulan Ramadan, Baginda tidak mengerjakan i'tikaf disebabkan keuzuran, maka pada bulan Ramadan selepasnya Baginda beri'tikaf selama 20 hari, sepuluh hari daripadanya seolah-olah mengganti i'tikaf yang tidak dapat dikerjakan pada Ramadan sebelumnya. Malah pernah juga Baginda beri'tikaf sepuluh hari yang terakhir bulan Syawal, sebab pada bulan Ramadan sebelumnya Nabi berhalangan mengerjakan i'tikaf itu.
Adapun hikmat beri'tikaf itu ialah mengharap kepada Tuhan semoga memberi keampunan dan rahmat, juga untuk mencari ketenangan/ketenteraman jiwa. I'tikaf juga diharap dapat mensucikan hati dan akal dari dikuasai oleh godaan-godaan kehidupan duniawi yang dilalaikan oleh bisikan syaitan.
Rukun i'tikaf
1. Niat - (bagi i'tikaf sunat) - Niat hendaklah segera ditasdikkan (berkata di dalam hati) dengan mentasdikkan ''sahaja ku beri'tikaf dalam masjid ini sunat kerana Allah Taala''. Sebelum kita mengerjakan sembahyang sunat tahyatul masjid.
2. Niat - (bagi i'tikaf nazar (wajib) - Hendaklah mentasdikkan ''Sahaja kau ber'tikaf dalam masjid ini kerana menunaikan nazar fardu kerana Allah Taala.''
3. Berhenti di dalam masjid sekurang-kurangnya sekadar yang dinamakan berhenti.
4. Orang yang beri'tikaf disyaratkan;
i. Mereka yang beragama Islam
ii. Berakal,
ii. Suci daripada hadas besar.
Yang membatalkan i'tikaf - Keluar dari masjid dengan tiada uzur.
Sesungguhnya puasa dapat mendidik diri bersifat sidiq (pembenar) kerana dengan berpuasalah kita dapat menghindar diri dari sifat-sifat pendusta.
Harus juga tidak dilupakan supaya memperbanyak zikir dan berdoa kepada Allah, kerana doa orang yang berpuasa tidak ditolak oleh Allah.
Malam kemuliaan
Dalam Surah al Qdar (Ayat 1 -5), Allah s.w.t berfirman, mafhumnya, ''Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatul Qadr), 2) Dan Tahukah kamu apakah amalan kemuliaan itu?, 3) Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan, 4) Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin tuhannya, untuk mengatur segala urusan, 5) Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.
Lailatul Qadr berlaku pada satu malam dari malam-malam bulan Ramadan pada tiap-tiap tahun sama ada pada malam 17 ataupun pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir daripada bulan tersebut.
Sesiapa yang beribadat menepati pada malam itu, nescaya diberi pahala yang besar dan berganda-ganda oleh Allah sama seperti orang beribadat lebih dari seribu bulan. (Seribu bulan bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan) - atau hampir 30,000 malam.
Dari itu umat Islam digalakkan untuk merebut peluang yang dikurniakan oleh Allah kepada (hanya) umat Nabi Muhammad s.a.w. ini, supaya menghayati malam-malam Ramadan khususnya pada malam-malam sepuluh yang terakhir yakni malam 21 hingga 29 atau 30 Ramadan.
Dengan berbuat demikian (yang kita lakukan dengan ikhlas) semata-mata kerana Allah, insya-Allah dapatlah ditemui malam al-Qadr - malam kemuliaan yang penuh dengan kesejahteraan itu.
Fitrah
Fitrah atau disebut juga zakat fitrah (zakat badan) adalah sedekah wajib pada Hari Raya puasa (Aidilfitri).
Ia wajib dikeluarkan (disempurnakan) berupa segantang (gantang Baghdad) iaitu bersamaan 3.1 liter atau tiga cupak dan satu setengah kepul berupa bahan makanan asasi sesebuah negeri. Sekiranya penduduk sesebuah negeri itu makan nasi, maka wajib dikeluarkan satu gantang beras. Beras yang dikeluarkan pula haruslah mengikut gred yang biasa dimakan oleh seseorang itu. Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Bukhari dan Muslim mafhumnya, Dari Abu Said, katanya, ''Kami mengeluarkan zakat fitrah adalah satu sak (gantang) dari makanan, atau gandum, atau kurma, atau susu kering, atau anggur kering.''
Kita juga boleh mengeluarkan zakat fitrah dengan membayar harganya yang setaraf dengan harga beras yang kita makan itu, mengikut harga semasa. Cara ini biasa dilakukan oleh masyarakat Islam untuk menyenangkan bagi pembayaran fitrah.
Wajib fitrah.
Wajib fitrah ke atas sesiapa yang mendapat sebahagian (hidup) dari akhir bulan Ramadan dan sebahagian awal bulan Syawal, lelaki dan perempuan yang telah baligh dan belum baligh termasuk juga kanak-kanak yang baru dilahirkan.
Fitrah ini menjadi wajib kepada mereka yang disebutkan di atas (juga kepada tanggungan mereka) sekiranya ada berlebihan bagi perbelanjaan dari pakaiannya juga makanannya yang biasa dimakan dan dipakai olehnya dan tanggungan-tanggungannya pada malam dan siang Hari Raya.
Waktu mengeluarkan fitrah
Waktu yang wajib mengeluarkan fitrah ialah pada malam Hari Raya Aidil fitri. Namun begitu tidaklah menjadi halangan bagi kita menunaikannya sebelum sampai waktu itu di sepanjang bulan Ramadan.
Menurut sebuah hadis, dari Ibn' Umar. Rasulullah s.a.w bersabda, mahfumnya, ''Mereka membayar zakat fitrah itu sebelum Hari Raya sehari atau dua hari.'' Riwayat Bukhari.
Pada kesimpulannya waktu-waktu menunaikan zakat fitrah itu ialah:
* Waktu yang diharuskan. Dari awal bulan Ramadan hingga akhirnya.
* Waktu wajib: Dari waktu terbenam matahari penghabisan bulan Ramadan.
* Waktu sunat: Pada pagi Hari Raya Aidilfitri hingga sebelum sembahyang Hari Raya.
* Waktu makruh: Selepas sembahyang Hari Raya hingga terbenam matahari raya yang pertama itu.
* Waktu haram: Selepas terbenam matahari pada Hari Raya itu dan seterusnya. Perbuatan melambat-lambatkan menunaikan fitrah itu adalah haram yakni berdosa.
Urusan pembayaran zakat fitrah boleh juga seseorang itu berwakil kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...