Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Nuzul Quran, Lailatul Qadar sejukkan hati manusia


MENGINGATI bulan Ramadan yang menjadi penghulu kepada semua bulan, sudah pasti tidak lengkap kalau tidak mengetahui secebis kisah perbualan bidadari dengan malaikat.
Malaikat Ridhwan memberitahu kepada wanita-wanita cantik itu tentang suatu malam iaitu malam pertama bulan Ramadan sebagaimana Firman Allah, maksudnya: ``Ya Ridhwan bukalah pintu-pintu syurga untuk orang-orang yang puasa daripada umat Muhammad s.a.w. Ya Jibrail, turunlah ke bumi dan ikatlah syaitan-syaitan yang jahat dan rantai mereka, kemudian buanglah mereka dalam laut supaya tidak mengganggu puasa umat Muhammad saw''.
Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, maksudnya: ``Sesungguhnya syurga itu diperhias tiap tahun ketika masuk bulan Ramadan. Maka apabila pada malam pertama Ramadan, datang angin dari bawah Arasy yang bernama al-Mutsirah. Ia menggoyangkan daun-daun syurga dan menggerakkan daun pintu sehingga terdengar suara bidadari dari jendela-jendela bahagian atas syurga dan berseru: ``Siapakah yang meminang kepada Allah untuk dikahwinkan seorang daripada kami. Kemudian bidadari-bidadari itu bertanya kepada Malaikat Ridhwan, malam apakah ini?. Jawab Ridhwan: ``Wahai wanita-wanita cantik, ini malam pertama bulan Ramadan''.
Yang pastinya, pada tiap-tiap malam bulan Ramadan, Allah berseru tiga kali: ``Siapa yang meminta, akan Aku ampunkan dosanya'. Malah Allah memerdekakan sejuta ahli neraka yang semuanya layak diseksa dan bila pada hari atau malam Jumaat pula tiap-tiap jam dimerdekakan sejuta orang daripada api neraka. Manakala mulai pertengahan Ramadan, Allah memerdekakan sebanyak orang yang dimerdekakan pada hari pertama hingga akhir Ramadan.
Dalam satu riwayat lain baginda Muhammad s.a.w bersabda: ``Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang sedang datang itu''.
Ini bermakna Ramadan, penghulu kepada semua bulan itu mewajib umat Islam yang cukup umur atau baligh melakukan ibadat fardu puasa selama sebulan dalam usaha menguji tahap ketakwaan seseorang.
Biasanya, muslimin-muslimat yang inginkan kelebihan beribadat sentiasa menunggu ketibaan bulan mulia ini yang dipanggil bulan bonus dengan pahala yang berlipatganda dan bulan ibadat untuk menyucikan diri.
Bayangkanlah, Sabda baginda s.a.w lagi, daripada apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya, maksudnya: ``Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang dikandung di bulan Ramadan, tentulah mereka mengharapkan supaya Ramadan berlaku sepanjang tahun''.
Oleh itu, perlu disebut di sini mana-mana amal ibadat yang dilakukan dalam bulan ramadan, pastinya Allah akan memberi ganjaran pahala berlipat kali ganda sama ada amal itu ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan sebagainya atau ibadat umum seperti bekerja, tutur kata yang baik atau seumpamanya.
Demikian juga siapa yang melakukan kejahatan di bulan ini sangatlah besar kemurkaan Allah ke atasnya sebagaimana sabda Rasullah s.a.w dalam sebuah hadis qudsi, maksudnya: ``Tiap-tiap amal anak adam itu dilipatgandakan satu kebajikan menjadi sepuluh kebajikan yang seumpamanya hingga sampai kepada 700 kali ganda''.
Sebab itu, kita dapati bulan Ramadan ini banyak keistimewaannya kerana dipilih untuk ibadat puasa fardu selain terkandung malam lailatul qadar dan solat tarawih.
Bulan ini juga bermula turunnya al-Quran sebagai petunjuk untuk kita sama-sama mengamalkan kandungannya bagi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Umat Islam digalakkan membaca al-Quran pada setiap masa sepanjang bulan Ramadan sama ada secara bersendirian atau bertadarus.
Pada masa yang sama, bulan ini digalakan untuk kegiatan ibadat seperti membanyakkan sedekah serta memberi jamuan kepada fakir miskin terutama semasa berbuka dan bersahor dan mengerjakan solat qiamullai.
Perlu dingat pada bulan mulia inilah terjadinya Perang Badar al-Kubra dan nabi menawan kota mekah daripada kaum musyrikin.
Sesungguhnya, banyak kelebihan disediakan untuk kita amalkan sepanjang bulan ramadan ini dan pastinya ia juga merupakan satu rahmat amat besar bagi kita yang sempat menikmati kehidupan ini.
Ibadat puasa juga dapat menjaga kesihatan tubuh badan dan kesejahteraan hidup seseorang sebagaimana sabda rasullah s.a.w, maksudnya: ``Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat''. Hakikat ini tidak dapat disangkal lagi dan diakui oleh doktor-doktor dan pakar perubahan.
Jadi, dengan menunaikan ibadat puasa ini, seseorang itu dapat menanamkan semangat kesedaran dan keinsafan tentang betapa pahitnya pengalaman dan perasaan orang-orang miskin yang selalu merasa lapar dan dahaga kerana tidak mampu mengadakan makanan dan keperluan yang cukup.
Dalam hubungan ini terdapat orang-orang kita menyambut ketibaan bulan Ramadan ini dengan tidak berlandaskan ajaran Islam. Kebanyakan mereka menyediakan bahan-bahan makanan dengan cara berlebihan untuk dinikmati sepanjang bulan yang mulia itu.
Ini tentunya bercanggah dengan tujuan pokok kita berpuasa kerana yang sebenarnya ialah untuk melatih diri kita supaya jangan makan terlampau banyak disamping menyedari peri kesengsaraan orang-orang yang kurang berada.
Jelaslah, puasa menurut bahasa bererti menahan diri manakala menurut syarak pula menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat dan syarat-syarat tertentu.
Sebenarnya, selain puasa wajib yang terdiri daripada puasa bulan Ramadan, puasa nazar dan puasa kaffarah, ada pula puasa tatawwu' (puasa sunat), puasa makruh dan puasa haram.
Bagaimanapun, kita hendaklah bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dipanjangkan umur sehingga pada tahun ini dapat melaksanakan lagi ibadat puasa Ramadan iaitu salah satu daripada rukun Islam.
Oleh kerana bulan ini banyak mempunyai keistimewaan-keistimewaan dan kelebihan-kelebihan, maka janganlah pula kita menyambut kedatangannya itu dengan perasaan dingin dan indah tak endah sahaja.
Sebaliknya, ketibaannya itu perlu diikuti dengan membanyakkan amalan-amalan yang baik seperti sembahyang, bertarawih, berzikir, bertadarus al-Quran, beriktikaf, bertahjud, menyambung silaturahim, memberi makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.
Pada masa yang sama, kita hendaklah tinggalkan percakapan-percakapan yang sia-sia dan yang boleh menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud: ``Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekap hati''.
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar dan hentikanlah permainan-permainan yang melalaikan termasuk pekerjaan-pekerjaan yang tidak berguna dan sia-sia.
Ini disebabkan berpuasa terutama sepanjang bulan Ramadan ini mempunyai berbagai-bagai hikmat termasuk mengawal diri daripada melakukan maksiat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: ``Sesiap yang lapar perutnya akan bertambah fikirannya dan cerdik akalnya''.
Malah, puasa sebagai salah satu usaha mendidik rohani daripada menahan nafsu perut, nafsu kejantinaan dan lain-lain ini dapat menguatkan peribadi, meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa.
Paling menarik lagi, orang berpuasa dijanjikan Allah pertemuan dengan-Nya untuk menerima balasan puasanya itu pada hari akhirat nanti. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: ``Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan. Kegembiraan pertama ketika masa berbuka puasa dan kegembiraan yang lain ialah ketika menemui Tuhannya''.
Begitulah halnya wajib puasa dalam bulan Ramadan seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183, bermaksud: ``Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada umat terdahulu daripada kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa''.
Adalah diharap dengan amalan ibadat ini, kita dapat membentuk jiwa muslim yang sejati dan membina satu umat Islam yang kuat, teguh dan mulia selain mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan di antara seseorang Muslim dengan saudara muslim yang lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...