Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday, 13 December 2011

Harimau Malaya terus gemilang di persada dunia



Kecemerlangan skuad Harimau Malaya membuatkan banyak pasukan antarabangsa berminat mengadakan perlawanan persahabatan.


SHAH ALAM - Arab Saudi sudah bersetuju dan sanggup membiayai, Congo pula sudah memohon malah sehingga Iran mahupun Paraguay, mula mengintai untuk mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan skuad kebangsaan sepanjang tahun depan.
Semuanya gara-gara fenomena kejayaan Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 dan kehebatan Harimau Muda pada Sukan SEA XXVI lantas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula tidak menang tangan untuk menguruskan siri persahabatan antarabangsa A itu di Malaysia atau luar negara.
Hasrat negara di ranking dunia lebih baik yang memang ditunggu-tunggu Malaysia itu, didedahkan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal yang ditemui pada majlis undian Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA 2012 di sini, semalam.
"Arab Saudi mempelawa, malah sanggup membiayai kehadiran pasukan kita dari segi penerbangan dan penginapan dalam persahabatan di Melbourne pada 20 Februari ini sebagai persediaan menjelang jadual Kelayakan Piala Dunia 2014 mereka dengan Australia.
"Hasrat kesemua pasukan ini menunjukkan Harimau Malaya sudah mempunyai nama dan mutu permainan yang boleh dibanggakan. Kecuali Arab Saudi yang sudah sah, yang lain-lain masih di peringkat perbincangan tetapi jika berjaya, ini bakal menjadi persediaan terbaik kita mempertahankan Piala Suzuki AFF, tahun depan," katanya.
Kata Subahan yang juga Naib Presiden FAM, Congo memohon untuk mengadakan persahabatan di Kuala Lumpur sementara rundingan dengan Iran bakal bergantung kepada persetujuan mengenai soal bayaran, tarikh perlawanan dan gelanggangnya.
"Kita memang serius untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF apatah lagi sebagai tuan rumah, sudah pasti tidak manis kalau kecundang mudah lebih awal pada tahun depan. Maka saya rasa sasaran wajar kita ialah sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir.
"Malah, hasil persediaan rapi dalam siri persahabatan dan Piala Suzuki AFF ini, bakal mampu memantapkan skuad negara bagi menghadapi matlamat pasukan yang lebih penting, Kelayakan Piala Asia 2015," ujarnya.
Jelasnya, skuad kebangsaan hanya akan kembali dihimpunkan bagi sesi latihan pusat lima hari di Wisma FAM bulan depan sebelum dilepaskan semula kepada pasukan Liga M masing-masing yang bakal bersaing 10 Januari ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...