Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 12 December 2011

Kuasa Raja-Raja Melayu



MAJLIS Raja-Raja yang terdiri daripada raja dari sembilan buah negeri akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong.


SEJAK Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, terlalu banyak perubahan dan pembangunan dilakukan bagi memartabatkan negara di peringkat antarabangsa.
Namun, sepanjang menyusuri arus perubahan dan kemodenan, Malaysia masih mengekalkan sistem yang diamalkan sejak kurun yang ke-15.
Pastinya, sistem yang dimaksudkan itu ialah sistem pemerintahan beraja yang merupakan teras utama sistem pemerintahan negara. Lagipun umum mengetahui bahawa Malaysia yang mempunyai 14 buah negeri mempraktikkan sistem Raja Berperlembagaan.
Hari ini, sudah lima dekad sistem Raja Berperlembagaan memainkan peranan dalam kestabilan dan keamanan pada negara.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menjelaskan, tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong sama ada di bawah Perlembagaan atau di bawah Undang-Undang Persekutuan, hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selain perlembagaan ini.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong berhak mendapat maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.
Secara amnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara yang dipilih menerusi Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan buah negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Setiap raja dari sembilan negeri itu mempunyai peluang untuk menjadi ketua negara dengan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
Secara keseluruhan, Malaysia dipayungi Yang di-Pertuan Agong tetapi sembilan buah negeri beraja ditunjangi raja atau sultan negeri, manakala empat buah lagi negeri pula diketuai Yang di-Pertua Negeri.
Namun sistem beraja di Negeri Sembilan paling unik berbanding negeri-negeri beraja yang lain. Rajanya tidak dipanggil sultan atau raja, sebaliknya digelar Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Selain itu, sistem di negeri tersebut pula bukannya monarki turunan tetapi dipilih oleh empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.
Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, dalam hierarki masyarakat Melayu yang berbentuk piramid, raja merupakan golongan yang menduduki kedudukan teratas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...