Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Belajar berlakon sebelum jadi artis



Omar Abdullah
Usia bukanlah lambang tahap ilmu seseorang, malah semakin meningkat usia, semakin banyak yang perlu dipelajari.

Itulah pegangan yang diamalkan oleh pelakon separuh abad ini, Omar Abdullah.

“Ilmu adalah perkara yang universal. Tidak kira siapa sahaja, kita wajib menuntut ilmu. Tidak kiralah ilmu itu dalam bidang lakonan ataupun dalam kehidupan seharian, ia wajar dipelajari.

“Dalam bidang lakonan, saya sentiasa mencari idea untuk mengembangkan watak yang saya pegang. Tidak kira watak apa sekalipun, ia tidak semestinya saya dengan watak sebelumnya. Di situlah daya kreatif kita sebagai pelakon untuk memberi santapan kepada penonton,” katanya yang bakal muncul dalam filem terbaru Grand Brilliance dan Red Films, Songlap dan drama bersiri di Astro Prima, Tujuh Gerhana.

Penglibatan Omar dalam bidang lakonan sudah melebihi 40 tahun.

Malah sehingga kini namanya masih berada dalam senarai penerbit dan pengarah tempatan.

Bermula sebagai pelakon pentas drama yang kini dikenali sebagai teater, Omar optimis untuk mengembangkan bakat berikutan minat yang mendalam sejak di bangku sekolah lagi.

Pada awal 1968, anak jati Alor Setar ini mula berhijrah ke ibu kota untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Tidak mudah untuk menceburi lakonan, Omar terlebih dahulu mengikuti kelas dan latihan bagi menimba ilmu dalam bidang lakonan.

Pada tahun 1970, dia berjaya mendapat kepercayaan pengarah untuk membintangi teater, Raja Pengemis bersama barisan Sabariah Hitam dan Ibrahim Akhir.

“Setahun selepas itu, saya mula mencuba nasib berlakon drama dan Hujan Batu di Rantau, adalah drama pertama saya bersama RTM.

“Sejak itulah, minat saya dalam bidang lakonan semakin membuak-buak dan berdiri sehingga kini dalam bidang ini. Saya tidak pernah menyesal bergelar anak seni kerana itulah minat saya sejak kecil.

“Saya juga akan terus berlakon selagi diberikan kesihatan yang baik dan menerima tawaran daripada pihak produksi,” katanya yang pernah bekerja sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1995 hingga 2006.

Selain bekerja sebagai wartawan, Omar juga mempunyai pengalaman bekerja di Jabatan Filem Negara, Juruhebah RTM dan di Radio Pendidikan.


Semakin selektif

Bertanya mengenai kepuasannya dalam lakonan, Omar berkata, dia tidak pernah meletakkan kepuasan seratus peratus menerusi lakonannya. Sebaliknya, dia akan berusaha memastikan setiap lakonannya dapat memuaskan hati pengarah dan penonton.

“Saya tidak pernah rasa puas hati dengan lakonan saya. Saya rasa, pelakon lain juga akan merasakan perkara yang sama seperti apa yang saya rasa.

“Perasaan puas hati akan membuat kita puas dengan apa yang kita lakukan dan tidak memikirkan untuk membuat yang lagi baik pada lakonan yang seterusnya.

“Saya sentiasa belajar. Jika dalam drama atau filem ini saya rasa ada kekurangan dari segi pembawaan watak dan penghayatan, saya akan perbaikinya pada lakonan seterusnya,” katanya yang pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang kewartawanan di Universiti
Teknologi Mara, Shah Alam.

Bagaimanapun, seiring dengan usianya, Omar mengakui dia semakin selektif memilih watak.

“Saya perlu selektif sekarang kerana faktor usia dan juga nilai mesej yang perlu disampaikan kepada penonton. Jika dulu, saya masih muda dan menerima apa jua watak yang diberi kerana ingin menambahkan ilmu.

“Tetapi kini, saya perlu memilih agar apa yang saya lakukan tidak menimbulkan salah faham serta kekeliruan kepada penonton,” kata bapa kepada tiga anak ini.


 Bayaran tidak setimpal

Perkara yang sentiasa melanda pelakon lama ialah dari segi bayaran.

Perkara ini juga turut dilalui oleh Omar yang menganggap bayaran yang diterima masih di tahap yang tidak berbaloi.

Katanya, perkara sebeginilah yang menjadi salah satu faktor yang mengganggu komitmen pelakon untuk beraksi dengan baik kerana mereka tidak dibayar dengan nilai yang sepatutnya.

“Saya tidak kata, semua produksi memberikan nilai yang tidak sepatutnya kepada orang lama seperti saya. Ada sebahagian daripada mereka masih gagal untuk menilai ‘harga’ kami.

“Ada juga syarikat produksi yang sudah gah dalam industri ini tetapi memberi alasan tidak mempunyai kos yang banyak untuk membayar lebih. Memang kecewa, tapi apa boleh buat? Apa yang saya dapat, saya terima dengan hati yang terbuka. Alhamdulillah, sudah ditetapkan
sebanyak itu rezeki saya,” katanya yang kini menetap di Kota Damansara.

Menyentuh mengenai kerjasama dengan pengarah yang jauh lebih muda daripada usianya, Omar berkata, ia bukanlah sesuatu yang janggal dalam industri ini.

Apa yang penting katanya, mereka harus saling menghormati antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...