Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

Baik ibu bapa, baiklah anak


KUALA LUMPUR: “Didikan bermula dari rumah dan buruk baik tingkah laku anak, ibu bapalah yang mencorakkannya,” kata Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiyah Hassan.
Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai pengakuan seorang gadis berusia 19 tahun yang tidak pernah diberikan didikan agama oleh keluarga hingga menjadi bohsia sejak berusia 15 tahun.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, keluarganya memang orang berada dan tahu dia terbabit masalah sosial seperti minum arak, mengambil dadah dan mengamalkan seks bebas namun tidak melakukan apa-apa termasuk menasihatinya. Zawiyah berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak untuk menjadi manusia berguna dan berakhlak, malah merekalah yang menjadi model ikutan anak-anak sejak kecil lagi.
“Jika ibu bapa sendiri mengabaikan agama, bagaimana mereka mahu mempersiapkan anak ke arah kebaikan. Jika anak dididik dengan baik, jadilah mereka baik, begitu juga sebaliknya.

“Ada juga ibu bapa bernasib baik kerana anak mereka menjadi manusia berakhlak walaupun mereka tidak memberi didikan yang baik di rumah. Ia mungkin kerana faktor persekitaran dan pengaruh rakan sebaya yang mengajak ke arah kebaikan,” katanya. Bagaimanapun, kebiasaannya perlakuan ibu bapalah yang menjadi contoh kepada anak manakala pegangan agama pula penting kerana ia sendiri sudah menunjukkan semua perkara baik dan positif.

“Rasulullah sendiri mengatakan anak yang baru dilahirkan ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka,” katanya.

Mengenai kes gadis berkenaan, Zawiyah berkata belum terlambat baginya untuk kembali ke pangkal jalan dan segeralah bertaubat kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk hamba-Nya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...