Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

Felcra agih dividen RM953j

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM953 juta akan diagih kepada lebih 80,000 peserta Felcra di seluruh negara sebagai dividen keuntungan syarikat yang diperoleh sepanjang tahun ini.
Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata keuntungan itu dijana daripada peningkatan pendapatan syarikat yang bertambah sebanyak 22.8 peratus iaitu RM1.58 bilion setakat Oktober lalu, berbanding RM1.49 bilion tahun lalu.

Menurutnya, dividen interim itu akan diserahkan kepada peserta melalui empat peringkat pengagihan dan pihaknya menjangkakan wang terbabit dapat diserahkan sepenuhnya Februari depan.
“Felcra sangat berpuas hati dengan prestasi syarikat pada tahun ini selain berbangga apabila keuntungan yang diperoleh mencatatkan rekod di mana jumlah itu adalah tertinggi sepanjang penubuhan syarikat.

“Keuntungan memberangsangkan itu diperoleh daripada hasil perladangan selain disokong peningkatan harga komoditi getah dan kelapa sawit. Justeru, wajarlah sekiranya peserta Felcra menerima imbuhan ini atas kerja keras mereka sepanjang tahun ini,” katanya pada majlis penyerahan dividen interim itu, di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Juzilman Basir.

Majlis penyerahan itu adalah kali kedua diadakan bagi tahun ini membabitkan sejumlah RM243.48 juta selain difahamkan, jumlah sama turut diserahkan pada peserta ketika sesi pengagihan pertama Ogos lalu.

Tajuddin berkata, dalam sesi penyerahan itu, Pahang memperoleh dividen tertinggi iaitu RM62 juta, Perak (RM34.5 juta) diikuti Johor (RM30.6 juta).
Mengulas lanjut, katanya, bagi terus menjana kekayaan syarikat selain mengurangkan kebergantungan terhadap hasil perladangan, syarikat bercadang menubuhkan Permodalan Felcra Bhd, badan yang bertanggungjawab mengumpul dana daripada peserta dan syarikat.

“Penubuhan badan ini dilihat sebagai langkah pertama dalam proses transformasi mengurangkan pergantungan terhadap hasil ladang dengan pelaburan lebih terarah kepada sektor perkilangan, hartanah dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya inisiatif itu dipersetujui peserta, ia dijangka akan dilaksanakan awal tahun depan dengan suntikan awal berjumlah RM10 juta akan disalurkan oleh dana korporat syarikat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...