Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Bahaya main pistol RM6

IPOH: Pelbagai jenis pistol mainan yang boleh dibeli dengan harga serendah RM6 tidak sepatutnya dijual di pasaran berikutan ia amat membahayakan.
Lebih membimbangkan apabila pistol permainan kanak-kanak itu boleh menembak biji peluru laju hingga mampu mendatangkan kecederaan.

Naib Presiden Persatuan Pengguna Perak (PCA), Paul Raj, berkata penjualan secara berleluasa pistol mainan itu adalah perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.
Katanya, pistol mainan jenis ‘Air Soft Gun’ dan ‘Air Sport Gun’ dengan satu daripadanya bergred tinggi versi ‘Hop Up’ perlu dilarang penjualannya kerana berbahaya.

“Saya hairan bagaimana pistol mainan yang berbahaya ini boleh dijual secara berleluasa kerana kelajuan tembakan peluru getah dan ketepatannya boleh mendatangkan kecederaan serius.

“Peluru pistol tiruan ini amat laju dan boleh mencederakan manusia apatah lagi jika ditembak dari jarak dekat dan buktinya cermin boleh pecah jika terkena tembakannya.

“Risiko berlaku kecederaan lebih tinggi jika ia digunakan oleh kanak-kanak. Justeru, PCA mendesak tindakan segera diambil dan jangan bersikap tunggu berlaku kecederaan atau kematian akibat terkena tembakan pistol mainan ini baru mahu bertindak,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum ini seorang remaja, Muhammad Asyraff Ilyas, 15, yang cedera di mata kiri selepas terkena peluru pistol mainan seumpama itu yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh adiknya di Kuantan, 23 November lalu.
Kejadian itu menyebabkan mangsa hampir buta mata kiri selain mengalami pendarahan dalaman mata sebelum dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Beliau berkata, terdapat pelbagai model senjata api tiruan ini yang dijual berleluasa sama ada di kedai runcit, stesen minyak dan pasar malam.

“Harganya yang terlalu murah sekitar RM6 hingga RM15 sepucuk boleh dianggap mampu dibeli oleh kanak-kanak yang terlalu naif terhadap bahaya menanti,” katanya. Beliau turut menyelar golongan peniaga yang sengaja menjual pistol mainan tiruan itu walaupun menyedari ia tidak sesuai dan mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

“Ia adalah satu kesalahan mengikut Akta Senjata Api 1960 di bawah beberapa peruntukan akta itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...