Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Ubah kejahatan kepada kebaikan

GOLONGAN remaja wajar menjauhi perbuatan yang boleh mendorong kepada unsur jenayah. Pengaruh rakan sebaya dan persekitaran yang tidak sihat menyumbang kepada unsur jenayah seharusnya dielakkan.
Jenayah kekerasan dan harta benda membabitkan remaja termasuk pelajar perlu diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan kes jenayah membabitkan golongan berkenaan menunjukkan peningkatan.

Remaja dan pelajar hari ini adalah generasi pelapis masa depan yang perlu diberikan perhatian. Jika unsur jenayah mempengaruhi mereka, masyarakat akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Remaja juga adalah modal insan yang akan menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
Pelbagai kes jenayah yang sering dilakukan oleh pelajar dan remaja antaranya peras ugut, buli, curi, rompak, samun, ragut, lumba haram, rogol dan gangsterisme. Peningkatan kes jenayah ini sering dikaitkan dengan pelajar yang tidak berdisiplin dan remaja yang terbabit dengan kumpulan samseng.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berdasarkan statistik jenayah yang dikeluarkan Bukit Aman, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, 635 kes jenayah kekerasan membabitkan remaja dilaporkan seluruh negara.

Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada 2010 iaitu, 584 kes. Seterusnya, daripada jumlah itu, 201 membabitkan pembabitan pelajar dan 434 bukan pelajar.

“Walaupun pembabitan pelajar menunjukkan penurunan daripada 239 pada 2010 kepada 201 tahun ini, pembabitan remaja bukan pelajar pula semakin naik iaitu 434 berbanding 345 tahun lalu,” katanya kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi tempoh sama tahun ini, 1,526 kes jenayah harta benda dilaporkan membabitkan remaja dan daripada jumlah itu 540 adalah pelajar dan 986 bukan pelajar.
“Sepanjang tempoh itu tahun ini, seramai 1,164 pelajar dan 1,877 bukan pelajar telah ditahan polis atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurutnya, bilangan remaja terbabit dengan jenayah kekerasan tahun ini ialah 2.8 peratus berbanding 15,318 kes indeks jenayah keseluruhan, manakala 14 peratus bagi jenayah harta benda yang mencatatkan 69,361 kes.

Sehubungan itu, beliau berkata, MCPF akan memberi fokus kepada golongan itu dalam setiap program atau kempen pendidikan serta pencegahan jenayah yang bakal dianjurkan sama ada di sekolah atau di pusat beli-belah.

Lantaran itu, beliau menyatakan, MCPF prihatin dan amat bimbang dengan perkembangan jenayah membabitkan remaja di negara ini. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan membantu pihak berkuasa menangani gejala ini daripada terus merebak dan merosakkan aset atau modal insan yang diharapkan bakal menyumbang untuk pembangunan negara pada masa akan datang.

Sehubungan itu, sekolah dan juga pihak berkuasa boleh melancarkan Bulan Pencegahan jenayah Peringkat Kebangsaan di setiap sekolah, daerah dan negeri bagi memberi fokus kepada pencegahan jenayah.

Kajian menunjukkan kumpulan samseng secara umumnya telah membentuk budaya tersendiri di kalangan mereka dan ingin memelihara dan menyebarkan budaya mereka. Matlamat inilah yang mewujudkan kumpulan samseng di sekolah iaitu mempengaruhi rakan-rakan sebaya.

Oleh itu, melalui sesi ceramah dan bimbingan, remaja seharusnya diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mengatasi jenayah dan masalah yang dihadapi oleh mereka berkaitan jenayah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh bekerjasama dengan polis mengadakan ceramah, bimbingan dan nasihat berkaitan kes jenayah.

Sebagai langkah tepat, nasihat dan bimbingan yang berkesan dapat memberi kesedaran kepada pelajar dan remaja yang terbabit dengan jenayah. Nabi s.a.w pernah berpesan: “Susuli kejahatan (dosa) dengan kebaikan, semoga kebaikan itu dapat menghapuskannya.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi).

Pada dasarnya, Islam menyuruh setiap penganutnya supaya melakukan kebaikan. Apabila seseorang melakukan (dosa), maka bagi satu dosa akan dibalas dengan satu kejahatan. Akan tetapi apabila dia segera melakukan satu kebaikan, maka satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kebaikan, di mana dia juga dapat menghapuskan kejahatan yang telah dilakukan itu.

Melalui tindakan tersebut, maka kebajikan seseorang itu melebihi kejahatannya dan dia akan bahagia semasa amalannya ditimbang di neraca timbangan amalan, di hari akhirat kelak. Dalam hal ini, pelajar dan remaja seharusnya diingatkan supaya takut kepada Allah di mana saja mereka berada.

Langkah proaktif perlu dilakukan oleh ibu bapa dengan mengawasi kegiatan anak-anak mereka dari semasa ke semasa. Sekolah juga mestilah memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan tentang pencegahan jenayah.

Program pendidikan berkaitan antijenayah bersama masyarakat perlu diadakan kerana masyarakat juga berperanan dalam mencorakkan kehidupan remaja. Selain itu, mengadakan kempen besar-besaran di semua sekolah dan pusat pengajian tinggi untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada generasi muda mengenai bahaya jenayah dalam masyarakat perlu juga diadakan.

Pihak berkuasa seperti polis perlulah sentiasa peka dan terus memantau perkembangan jenayah di sesuatu tempat khususnya di kawasan sekolah dan tempat tumpuan remaja seperti di kafe siber yang selalu menjadi tumpuan remaja.

Melalui langkah proaktif remaja digalakkan memenuhi masa lapang dengan aktiviti berfaedah seperti membaca, bersukan dan juga membabitkan diri dengan kerja-kerja kemasyarakatan.

Peranan guru juga penting dengan mengadakan ceramah bulanan dan kaunseling kepada mereka yang terbabit. Selain itu, sekolah perlu menjalankan aktiviti yang boleh membentuk pelajar ke arah kesedaran dan kecemerlangan. Ceramah agama pula sebaiknya diadakan setiap masa supaya pelajar terbabit boleh mengubah cara hidupnya dan kembali kepada kehidupan yang bermoral.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...