Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 7 December 2011

300 IPTS bermasalah


KUALA LUMPUR  – Kementerian Pengajian Tinggi mendedahkan kira-kira 300 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bermasalah termasuk dari segi pengawalan terhadap pelajar asing sehingga ada antaranya melanggar undang-undang negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara faktor yang menyumbang kepada masalah yang dihadapi 300 IPTS itu adalah kerana institusi berkenaan menawarkan kursus pengajian dalam tempoh yang pendek.
“Namun ibu bapa tidak perlu risau kerana 60 IPTS bertaraf universiti, kolej universiti dan cawangan universiti luar negara sedia ada di negara ini tidak berhadapan dengan masalah seperti 300 institusi terbabit,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan ‘Young Executives Seminar 2011’ di sini, hari ini.
Beliau mengulas amaran Menterinya, Datuk Mohamed Khaled Nordin kepada IPTS supaya bertanggungjawab terhadap setiap pelajar asing yang dikesan menimbulkan banyak masalah termasuk kepada keselamatan negara.
Saifuddin dalam pada itu menjelaskan, kementerian telah mula mengetatkan modus operandinya termasuk mensyaratkan setiap IPTS melaporkan kepada Jabatan Imigresen berhubung pelajar asing yang tiga hari tidak hadir kelas berturut-turut sebelum laporan itu diserahkan kepada kementerian.
Katanya, kementerian dari semasa ke semasa turut mengawal jumlah IPTS yang dibenarkan mengambil pelajar luar negara.
“Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia yang diketuai Kementerian Dalam Negeri serta beberapa agensi kerajaan lain juga telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak, khasnya dalam menangani masalah membabitkan pelajar asing,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan kad pelajar antarabangsa yang mempunyai ciri-ciri keselamatan khas bagi menangani penipuan dalam kalangan warga asing yang mengaku pelajar.
Beliau difahamkan Jabatan Imigresen sedang dalam peringkat akhir untuk menyiapkan kad pelajar antarabangsa itu yang akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Dulu kita pernah melaksanakan kad pelajar antarabangsa namun ia ditarik balik atas sebab keselamatan. Justeru, kementerian telah memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri tentang kepentingan melaksanakan semula kad tersebut,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 208 IPTS telah dikenakan kompaun berjumlah RM1.3 juta tahun ini atas pelbagai kesalahan termasuk membabitkan pengambilan pelajar asing, berbanding hanya 48 dengan jumlah kompaun RM432,000 pada tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datin Dr. Ir. Siti Hamisah Tapsir berkata, peningkatan mendadak jumlah kompaun yang dikenakan kepada IPTS itu membuktikan kementerian memandang serius masalah yang melanda institusi berkenaan di negara ini.
Selain itu, menurutnya, jumlah pendakwaan terhadap IPTS juga meningkat kepada 11 kes setakat November ini berbanding tiga kes bagi keseluruhan 2010.
“Peningkatan kompaun serta pendakwaan ini membuktikan Kementerian Pengajian Tinggi tidak sesekali akan berkompromi dengan IPTS terutamanya dalam soal kualiti. Kami tidak mahu timbul masalah membabitkan IPTS serta pelajarnya seperti yang banyak berlaku kebelakangan ini.
“Jadi, kami telah mengambil langkah serius dengan meningkatkan penguatkuasaan terhadap IPTS yang ada supaya mereka juga mengambil berat terhadap perjalanan institusi serta pelajar mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, menurut Siti Hamisah, ada juga IPTS di negara ini yang benar-benar cemerlang sehingga mendapat tawaran untuk mengembangkan institusi mereka ke luar negara.
“Tidak semuanya teruk seperti disangka. Ada yang bagus sehingga mampu membuka cawangan di luar negara seperti di Asia Barat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...