Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday, 7 December 2011

Penjawat awam tetap diutamakan dalam SBPA


PUTRAJAYA. – Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier, walaupun terdapat dasar membenarkan “orang luar” mengisi jawatan tersebut dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan mula dikuatkuasakan Januari depan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, penilaian akan dibuat terhadap penjawat awam yang layak mengisi kekosongan itu terlebih dahulu dan calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak untuk memegang jawatan itu.
“Penjawat awam jangan risau tentang perkara ini, sebab ini hanyalah persediaan. Kalau kita tak sediakan peruntukan ini sekarang dan kalau keperluan timbul nanti, waktu itulah baru kita nak buat pindaan dan sebagainya tentulah tak elok.
Setiap skim yang kita laksanakan bukan saja untuk mengatasi masalah sedia ada tapi juga melihat kemungkinan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa dalam skim baharu ini, jawatan premier perkhidmatan awam, peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.
Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah dasar tersebut, mengatakan ia seperti menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.
Abu Bakar berkata, bakat dari luar itu turut perlu melalui proses sepertimana pegawai dalaman termasuk saringan dan penilaian oleh satu panel yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara.
“Jadi dia akan dinilai keupayaannya dari segi pengetahuan peraturan-peraturan perkhidmatan, kewangan, pengauditan dan sebagainya yang bermakna dia perlu cekap tentang urusan pentadbiran kerajaan dan dicampur dengan keupayaan dan pengalamannya berkhidmat di luar perkhidmatan awam barulah diberi pertimbangan,” katanya.
Setakat ini tiada kuota spesifik ditetapkan untuk pengambilan tersebut, namun menjangka keperluannya tidak akan melebihi 20 peratus daripada jumlah jawatan yang ada, katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk urusan spesifik jangka pendek, seperti untuk menyertai kumpulan perundingan kedudukan negara dalam ekonomi, mereka yang tidak berada dalam perkhidmatan awam boleh diambil bekerja secara kontrak.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata SBPA bukanlah bertujuan untuk mengurangkan penjawat awam, tetapi bagi memastikan tenaga kerja dalam sektor awam itu dapat dikawal mengikut keperluan.
Beliau berkata, tahun ini sehingga hari ini sahaja sejumlah 29,000 jawatan dalam perkhidmatan awam dimansuhkan dalam usaha tadbir urus perkhidmatan awam yang lebih baik.
“Sebagai contoh, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, kita mengambil 7,000 anggota polis yang selama ini berkhidmat di ibu pejabat dan balai, dipindahkan membuat kerja kawalan keselamatan awam dan tempat mereka ini digantikan dengan 4,200 penjawat awam dari agensi kerajaan lain,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...