Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 28 November 2011

Saham Asia, nilai euro meningkat

PASARAN Asia dan mata wang euro meningkat semalam berikutan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sedang menimbang rancangan untuk menyediakan pelan menyelamat bernilai AS$800 bilion kepada Itali yang dibelenggu hutang.

Peniaga menyambut baik berita Jerman dan Perancis membincangkan rancangan mempercepat integrasi di zon euro, sambil data menunjukkan jualan runcit di Amerika Syarikat (AS) memecahkan rekod bagi hari minggu Black Friday.
Tokyo menokok 1.56 peratus atau 127.48 kepada 8,287.49; Seoul ditutup 2.19 peratus atau 38.88 mata lebih tinggi pada 1,815.28 dan Sydney melonjak 1.85 peratus atau 73.9 mata untuk ditutup pada 4,058.2.
Hong Kong menambah 2.03 peratus pada tengah hari manakala Shanghai meningkat 0.1 peratus.

Akhbar La Stampa dari Itali Ahad lalu melaporkan IMF menyediakan 600 bilion euro bagi membantu Rome menangani bayaran semula hutangnya yang besar.

Bantuan tunai itu memberi Perdana Menterinya, Mario Monti antara 12 hingga 18 bulan untuk melaksanakan pemotongan bajet segera dan merangsang pertumbuhan ‘dengan mengenepikan keperluan untuk membiayai semula hutang’, kata akhbar itu, memetik seorang pegawai dana.

La Stampa menambah, IMF akan menjamin kadar empat atau lima peratus pinjaman berkenaan, jauh lebih tinggi daripada perolehan di atas tujuh peratus yang terpaksa dibayar Itali menggunakan pasaran komersial.
“Satu daripada kebimbangan besar mengenai Itali adalah semua pembiayaan semula yang perlu dilakukannya dan semua kematangan (bon) yang dimilikinya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Jika desas-desus itu benar, secara jelas ia mengurangkan tekanan yang membelenggunya,” kata penganalisis, Brad Gordon kepada Dow Jones Newswires.
Bagaimanapun, IMF semalam berkata tiada rundingan sedang dilakukan dengan Rome mengenai kemungkinan bantuan itu.

Mata wang euro menokok kepada AS$1.3300 dalam dagangan awal Asia daripada AS$1.3240 lewat Jumaat lalu di New York, manakala ia berada pada 103.25 yen daripada 102.90 yen.

Dolar AS turun kepada 77.63 yen daripada 77.72 yen.

Sentimen juga ditingkatkan oleh laporan berasingan bahawa Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy sedang menimbang pakatan kestabilan baru yang mungkin terhad kepada beberapa negara saja di zon euro.

Kelmarin, dua gergasi Eropah itu membincangkan kaedah mengenakan kawalan bajet lebih ketat ke atas negara zon euro menerusi perjanjian mengikut zon atau kerjasama berasingan di luar pakatan Kesatuan Eropah membabitkan lapan hingga 10 negara, laporan berita yang memetik sumber EU.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka mengemukakan rancangan itu menjelang sidang puncak EU pada 9 Disember ini. – AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...