Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 27 November 2011

Mangsa tanah bertukar milik

GOMBAK: Mangsa keadaan. Dua perkataan itu menggambarkan perasaan 10 keluarga di Lot 1880 Jalan Kampung Tengah 4, yang berdepan kemungkinan terpaksa mengosongkan kediaman mereka, Selasa ini, selepas tanah didiami berpuluh tahun lalu, bertukar milik dari satu pemaju ke pemaju lain.

Penduduk asal, Rosnah Vadu Murid mendakwa, masalah timbul selepas tapak tanah dimiliki sebuah syarikat dicagar kepada pihak bank pada tahun 80-an sebelum dijual kepada pemilik baru.
Katanya yang juga generasi ketiga mendiami kawasan itu, perpindahan ke Jalan Kampung Tengah 4 berlaku pada tahun 80-an selepas pemilik asal menyatakan hasrat membina laluan jalan raya di atas tapak asal rumah mereka apabila Taman Harmonis dibangunkan.
Beliau berkata, sebagai pampasan 10 keluarga berkenaan menerima tapak rumah baru secara percuma manakala kediaman dibina bernilai RM7,500 pada masa itu dibayar secara ansuran sebanyak RM50 sebulan kepada pemilik terbabit.

“Bagaimanapun selepas berpuluh tahun menetap di sini dan melakukan pelbagai pengubahsuaian, pemilik baru yang membeli tanah ini daripada pihak bank selepas ia dicagar pemilik asal, mengarahkan kami mengosongkan kediaman bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

“Malah, setiap pemilik rumah turut diarahkan membayar RM600 kerana dikatakan mendiami kawasan ini tanpa kebenaran dan sebagai warga terawal mendiami kawasan ini di manakah hak kami sekiranya diarah untuk mengosongkan kediaman dengan sewenang-wenangnya.

“Sudah hampir RM20,000 dihabiskan penduduk bagi membayar yuran peguam tetapi selepas beberapa tahun, masalah berkaitan hak kami ini masih tidak berupaya diselesaikan, ” katanya yang turut memaklumkan masih menunggu keputusan rayuan mahkamah bagi menarik semula arahan pengosongan kesemua kediaman di situ.
Rosnah ditemui dalam bantahan aman membabitkan 10 keluarga yang mendiami Jalan Kampung Tengah 4, di sini yang tidak bersetuju dengan notis pengosongan diberikan pemilik baru tanah itu yang turut dihadiri Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Said Anuar Said Ahmad.

Menyifatkan 10 pemilik rumah di kawasan itu sebagai ‘tersepit’ di antara dua pihak, Pengerusi JKKK Jalan Kampung Tengah 4, Abd Halim Idris, berkata penduduk tidak akan tunduk kepada permintaan untuk mengosongkan kawasan itu.

Katanya, perjanjian sebelum ini dilakukan dengan pemilik terdahulu dan tidak wajar sekiranya mereka hilang hak selepas tanah dicagar kepada pihak bank.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...