Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 29 November 2011

Pengeluar kereta Jepun tingkat import alat ganti


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pengeluar-pengeluar kereta Jepun akan meningkatkan import alat ganti automotif dari Malaysia bagi mengurangkan kos operasi.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, ia merupakan satu peluang besar kepada pemain industri komponen dan alat ganti automotif tempatan.
Dalam temu bual dengan akhbar berbahasa Jepun baru-baru ini, Ketua Pegawai Operasi Nissan Motor, Toshiyuki Shiga berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan import alat ganti daripada 20 peratus kepada 40 peratus untuk kenderaan eksportnya.
Katanya, ia menjadikan 60 peratus daripada komponen dan alat gantinya adalah pengeluaran domestik Jepun.
Bagaimanapun, di Asia jelasnya, perolehan tempatan masih berjumlah 70 peratus dalam beberapa model jenama Nissan dan pihaknya merancang untuk meningkatkannya kepada 90 peratus atau lebih tinggi.
"Mata wang Yen yang mengukuh telah menjejaskan kebergantungan jualan kenderaan eksport Nissan Motor,'' kata Shiga.
Matrade pula berkata, perkembangan ini memberi peluang kepada pemain industri alat ganti dan komponen di Malaysia untuk membentuk perikatan dan pakatan dengan syarikat vendor peringkat pertama, kedua dan ketiga Jepun bagi memenangi perniagaan baharu.
Jelas kenyataan itu, amat penting bagi pemain industri di negara ini menjalankan kempen 'kami di sini' bagi mempromosi kekuatan yang dimiliki dalam industri alat ganti dan komponen automotif dengan menyertai pameran dagangan dan menganjurkan misi jualan.
"Matrade turut menasihatkan pemain industri di Malaysia supaya memastikan kualiti dan kepercayaan pelanggan terhadap produk buatan Malaysia sebagai mana syarikat-syarikat Jepun yang amat mementingkan kualiti,'' jelas kenyataan itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...