Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 29 November 2011

KWSP beri pinjaman RM83.7 bilion



KUALA LUMPUR - Jumlah pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kerajaan dan institusi korporat setakat Jun 2011 adalah sebanyak RM83.7 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, jumlah berkenaan adalah bagi pelaburan dalam bentuk pinjaman dan sebahagian besarnya adalah jaminan kerajaan.

Menurutnya, nilai tersebut sebanyak RM79.41 bilion atau 95 peratus adalah pinjaman kepada kerajaan manakala baki RM4.31 bilion atau lima peratus adalah pinjaman kepada institusi korporat.

“Pinjaman yang diberikan KWSP adalah dijamin dengan sekuriti atau jaminan yang bersesuaian bagi memastikan pinjaman tersebut berkualiti.

“Dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh berintegriti, telus dan profesional, governance stucture telah dipertingkatkan seiring dengan pertumbuhan asetnya,” katanya menjawab ketika menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) yang ingin mengetahui mengenai kedudukan jumlah pinjaman KWSP kepada institusi korporat.

Beliau berkata, sistem kawalan pelaburan KWSP mempunyai tiga bahagian iaitu pengasingan fungsi 'front office' dan 'back office', pengurusan risiko dan audit.

“Rangka kerja pengurusan bertindak mengawal selia aktiviti pelaburan dalam meminimumkan kadar risiko dan memastikan simpanan ahli dan aset KWSP terjamin.

“Jabatan Audit pula bertindak mengawal selia proses operasi dengan mengukur pemantuan, keberkesanan, kecukupan dan integriti kawalan dalaman,” katanya.

Awang Adek berkata, keutamaan KWSP ialah 'preservation of capital' manakala objektif pelaburan KWSP ialah memberikan nilai tambah kepada setiap simpanan ahli seperti yang ditunjukkan melalui kadar dividen sebenar iaitu setelah mengambil kira kadar inflasi setiap tahun.

“Simpanan KWSP bukan sahaja sentiasa selamat malahan menjamin pulangan positif yang konsisten dan stabil untuk jangka masa yang panjang sejajar dengan objektif KWSP sebagai organisasi keselamatan sosial yang bertanggungjawab untuk menjamin simpanan hari tua ahli,” katanya.

Sementara itu, Awang memaklumkan KWSP tidak akan memberi pinjaman kepada syarikat berisiko tinggi tetapi hanya kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan dan mempunyai aset.

Semua bentuk pelaburan KWSP akan dipantau dan dinilai Panel Pelaburan dan Risiko KWSP sebagai jaminan bahawa pinjaman itu selamat.

“Bagaimanapun keputusan panel ini perlu mendapat kelulusan Menteri Kewangan yang perlu ditapis di peringkat kementerian. Saya yakin pelaburan berisiko tinggi tidak akan dibuat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN Arau).

Ismail ingin tahu sama ada KWSP benar-benar memantau semua aktiviti terutama yang berisiko tinggi.

Menurutnya, panel pelaburan tersebut dianggotai beberapa pakar termasuk Timbalan Gabenor Bank Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...