Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 27 November 2011

Maharaja Lawak Mega Minggu ke - 5

Boboi pukau penonton

Boboi pukau penonton
Dari minggu pertama sehinggalah minggu kelima, Maharaja Lawak Mega (MLM), persembahan kumpulan Boboi dilihat konsisten.

Mendahului peserta lain dengan 64 peratus markah, Boboi berada di kedudukan selesa setiap minggu.

Dianggotai otai lawak, Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik, ternyata percaturan konsep kanak-kanak dibawa mereka, menepati citarasa juri dan penonton.

Setiap minggu, persembahan dihasilkan mencuit hati kerana masing-masing berhasil menghidupkan watak kanak-kanak. Jika Afdlin semakin serasi sebagai Boboi Yut, tidak kurang hebatnya dengan Harun sebagai Boboi Wa.

Pada minggu kelima, aksi Boboi turut mendapat sorakan dari penonton apabila tema ‘Purbakala’ dijayakannya menarik perhatian.

Melakonkan semula babak dalam filem KRU Studio, Hikayat Merong Mahawangsa, dengan gaya kreatif menerusi penggunaan kostum dan kapal sebagai prop. Ternyata watak Afdlin sebagai Terung Titiwangsa dan Harun sebagai Marcos, membuatkan penonton tidak kering gusi. malah turut mendapat pujian dari juri tetap, Datuk Siti Nurhaliza.

Persembahan mereka turut diserikan dengan nyanyian lagu Sedetik Lebih yang telah ditukar dari segi bait liriknya.

Selain itu, persembahan turut diselitkan kisah pemulangan trofi Lagu Terbaik yang berlaku dalam Anugerah Industri Muzik (AIM 18), baru-baru ini.

Menurut Afdlin, idea persembahan bukan hanya datang dari mereka berdua, tetapi juga dengan bantuan panel skrip yang ada.

“Konsep kami memang sama kerana kami bawakan nama Boboi. Namun, kandungan cerita dan idea berbeza setiap minggu. Kami akan sesuaikan kandungan cerita dengan tema yang diberikan setiap minggu,” katanya.
Sebalik nama Boboi
Pemilihan nama Boboi bukanlah sekadar hiburan semata-mata kerana bagi duo ini, Boboi menggambarkan perkataan sangat bermakna.

Menurut Harun, Boboi berkait rapat dengan dunia kanak-kanak dan kehidupan mereka sebagai pemikiran tahap pertama.

“Kanak-kanak ada dunianya sendiri dan apa yang pasti, kanak-kanak mempunyai sifat jujur dan tidak pandai untuk menipu.

“Jadi, kami sepakat untuk ketengahkan watak Boboi dan uniknya, watak itu dilakonkan orang tua seperti kami,” katanya.

Menggunakan MLM sebagai platform untuk memperkenalkan Boboi, Afdlin dan Harun mempunyai misi yang tersendiri untuk mengembangkan watak Boboi dalam industri seni.

“Sekiranya kami tewas di MLM, Boboi tidak akan terkubur di situ sahaja kerana kami telah pun menyusun dan merancang untuk mengembangkan lagi karakter Boboi,” katanya.
Hiro terpaksa undur

Jika minggu lalu menyaksikan penyingkiran peserta solo, Jalil Hamid, minggu ini, giliran Hiro pula terpaksa berundur dari pentas MLM.

Sudah bersiap sedia dengan pengunduran, Hiro yang dianggotai oleh Hamdan, Illya dan Ropie, menyifatkan penyingkiran itu adalah perkara yang harus diterimanya dengan hati yang terbuka.

Menurut Hamdan, mereka sudah menjangkakan penyingkiran itu.

“Nasib tidak menyebelahi kami di MLM yang terdiri daripada otai-otai dan kami pula hanyalah pelawak biasa.

“ Walaupun kami boleh melawak dalam drama, tidak semestinya kami boleh berlawak di pentas. Namun, pengalaman di sinni banyak memberikan tunjuk ajar kepada kami,” katanya.
Adlin ‘kena’ lagi!!

Walaupun Hiro terpaksa berundur, namun komen diberikan juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan lebih ‘pedas’ terhadap peserta solo, Adlin Aman Ramlie.

Pada minggu ini, Chef Wan, membuat kesimpulan terhadap keseluruhan persembahan Adlin. Dari komen diberikan, Chef Wan dilihat sedikit beremosi dan menasihati Adlin supaya tidak mengulangi kesalahan lagi.

Apa yang dikritik Chef Wan, tidak jauh bezanya dari apa yang pernah disuarakannya melalui laman Facebook miliknya sebelum ini.

“Apa yang saya nampak, persembahan Adlin tidak menepati cita rasa dan ada kalanya tidak kena tempat. Dari minggu pertama hingga kelima, Adlin tidak mampu membawa watak dengan baik padahal dia seorang berbakat.

“Sebelum ini, Adlin membawa watak sebagai ulama tidak memberi kesan, malah dilihat seperti mempermainkan hukum agama seperti talak dan sebagainya. Begitu juga dengan aksi peserta sorak berbaur lucah dan ‘double meaning’.

“Sebaiknya, elakkan dari membuat persembahan begitu kerana penonton terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Jadi, Adlin perlu berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Adlin dilihat seperti ‘terasa hati’ dengan komen Chef Wan dan terus ke belakang pentas, apabila Hiro diumumkan sebagai peserta tersingkir.

Sobri hentam ‘Joyah’

Chef Wan turut menegur persembahan Sobri, dari Bawal Power, dianggap keterlaluan kerana menyelar penulis ruangan gosip, Joyah. Menerusi sketsanya, Sobri seolah mahu membalas dendam dan membidas kenyataan Joyah menganggap wataknya sebagai pondan minggu lalu, mencemarkan nama penyanyi, Zaiton Sameon.

“Tidak sepatutnya menggunakan pentas ini sebagai platform menghentam wartawan. Dia harus bersikap profesional dan tahu membezakan urusan kerja dan peribadi,” katanya.

Pun begitu pujian harus diberikan kepada rakannya, Bob Kuman, yang bersemangat meneruskan perjuangan di pentas MLM, walaupun masih berbalut di tangan dan kesan jahitan di muka.

Namun demi Sobri, dia kuatkan semangat untuk berada di pentas MLM.

Sobri adalah sahabat yang baik, tanpa dia, mungkin saya tidak sekuat ini. Dia banyak memberikan semangat dan kekuatan,” katanya.

Sobri bagaimanapun telah menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap wartawan Utusan Malaysia di yang menganggap wataknya sebagai pondan minggu keempat telah mencemarkan nama penyanyi, Zaiton Sameon.

Mengungguli carta sejak minggu lalu, Boboi meraih undian tertinggi, diikuti 3G sebanyak 56 peratus.

Pimai pula berada di tempat ketiga dengan 55 peratus dan Osbon 52 peratus. Diikuti Syok, 45 peratus, Bawel (45), BP (42), Adlin (42), Saehu (42) dan Hiro (37).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...