Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 8 December 2011

Zeti nafi laporan pendedahan bank eropah terhadap M'sia


Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini menafikan pendedahan bank-bank Eropah ke atas Malaysia membabitkan  US$50 bilion (RM155 bilion) atau kira-kira 19 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.
  
“Maklumat ini tidak tepat. Apa yang saya ingin tegaskan ialah bank-bank asing kita diperbadankan dalam negara dan oleh itu mereka kurang terdedah berbanding tempat lain di mana mereka tidak diperbadankan dalam negara.
  
“Kami akan mengumumkan angkanya memandangkan laporan itu tidak betul. Ia kurang daripada lima peratus, angkanya sangat rendah," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai isu itu selepas melancarkan MobileLink bank pusat itu di ibunegara hari ini.
  
Ahli ekonomi di Nomura International, sebuah syarikat pengurusan aset, menyatakan baru-baru ini bagawa Malaysia merupakan antara ekonomi yang akan menjadi paling lemah memandangkan ia berada dalam kumpulan ekonomi yang lemah.
  
Beliau juga berkata Malaysia menduduki tempat ketiga di Asia, tidak termasuk Jepun, dari segi pendedahan terhadap tuntutan bank Eropah, selepas Hong Kong dan Singapura, yang bermakna menghadapi masalah kecairan jika bank-bank Eropah mula mengurangkan pendedahan mereka ke rantau ini.
  
Dalam perkembangan lain, Zeti juga menggesa orang ramai supaya membuat laporan kepada bank pusat dan polis mengenai aktiviti penipuan.
  
“Kami tidak mahu menunggu sehingga ia menjadi serius untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kewujudan aktiviti penipuan ini. Ia bukan sekadar memaklumkan bahawa kami tidak terlibat, malah terdapat orang ramai yang berada dalam aliran perdana kewangan, menyertai skim penipuan itu.
  
“Mereka tidak mempunyai pengetahuan bahawa ada antaranya merupakan aktiviti penipuan," katanya.
  
Zeti juga berkata terdapat banyak produk kekayaan kewangan dan banyak yang tidak betul.
  
“Ada kalanya mereka menggunakan surat kepala Bank Negara dan nama pegawai kanan Bank Negara. Semua ini boleh didakwa (di mahkamah) dan orang ramai perlu melaporkannya kepada Bank Negara dan polis," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...