Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 8 December 2011

Zentrum: Orang muda lebih sokong BN


BN mendahului Pakatan Rakyat sekurang-kurangnnya tiga peratus dalam persaingan untuk mendapatkan sokongan anak muda dalam pilihan raya umum akan datang, demikian menurut institut kajian Zentrum Future Studies.

NONEPengasas institut kajian itu, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata sebahagian besar sokongan itu diraih dari kalangan anak muda golongan Cina.

"Jumlah kaum muda dalam demografi SPR adalah sehingga 68 peratus, bermakna kaum muda Cina secara total daripada 88 hingga 92 peratus menyokong Pakatan," katanya dalam wacana perdana pilihan raya umum ke-13 di Kota Bharu malam tadi.

Katanya lagi, sokongan di kalangan masyarakat Cina terhadap Pakatan, tanpa mengikut gender dan umur dianggarkan pada kadar 82 hingga 88 peratus.

Bagi pengundi Melayu pula, ia kekal pada kadar 22 hingga 28 peratus, untuk memberi kelebihan sokongan 3 hingga 5 peratus kepada BN.

Bagaimanapun, ia mungkin berubah pada saat-saat terakhir pilihan raya kerana golongan muda itu disifatkannya lebih berhati-hati dan lebih cakna kepada isu.

"Bermaksud, Pakatan mampu memecut dan bentuk keseimbangan akibat sokongan kaum Melayu," katanya lagi.

NONEMenjelaskan bacaannya itu, Abu Hassan (tengah) berkata kaum muda Melayu lebih dekat dengan budaya popular manakala masyarakat Cina lebih dekat dengan isu-su ekonomi.

Oleh itu isu rasuah dan penyelewengan seperti yang dikaitkan dengan National Feedlot Corporation (NFC) juga akan memberi impak yang besar kepada komuniti Melayu, tambahnya.

Ditemui selepas program anjuran kerajaan negeri Kelantan itu berakhir lewat malam tadi, Abu Hassan bagaimanapun enggan mendedahkan butiran kajian berkenaan kerana ia masih belum diterbitkan.

Moderator program berkenaan, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut memberikan pandangannya bahawa 60 peratus daripada kira-kira seramai tujuh juta pengundi muda hanya akan membentuk sikap terhadap kepada isu-isu tersebut dalam undian mereka pada saat terakhir.

Perkara yang ditimbang oleh golongan ini melibatkan isu kebajikan – keadaan ekonomi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Sementara itu, wakil BN di wacana berkenaan, Datuk Saifuddin Abdullah pula tetap yakin bahawa parti itu akan meraih sokongan daripada pengundi atas pagar.

Katanya, BN telah berjaya memujuk pengundi yang memberikan undi protes dalam pilihan raya 2008 dan parti itu juga telah menyedari "realiti politik baru" yang perlu diharungi dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan menteri pengajian tinggi itu turut menyenaraikan usaha-usaha yang dijalankan parti pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menunjukkan bahawa BN telahpun sedar, termasuk kempen 1Malaysia dan juga program transformasi yang dicanang.

NONEBeliau turut mengulangi pandangan bahawa mood pengundi dalam 18 pilihan raya kecil juga telah berubah pada saat akhir.

Mengulas data yang dikemukakan Zentrum, seorang lagi ahli panel, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution pula berkata parti itu terbuka dalam menerima apa juga kajian dan akan menggunakannya dalam menghadapi pilihan raya.

"Kita tidak amalkan sindrom penafian," katanya yang mengambil data berkenaan sebagai cabaran kepada parti untuk memperbaiki peluangnya.

Beliau juga menerima bacaan daripada pelbagai sumber lain, namun apa yang lebih penting bagi PKR adalah sistem audit dalam parti.

Audit berkenaan akan memberi gambaran sebenar kepada kekuatan parti dan masalah yang dihadapinya, katanya lagi ketika ditemui selepas program di Balai Islam, Lundang itu berakhir lewat malam semalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...