Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Tania teringin rasai cinta sejati





ANTARA percaya atau tidak, wanita ini mengaku tidak ada pengalaman bercinta dengan mana-mana lelaki secara serius sepanjang 26 tahun usia.
Biarpun persoalan kebenaran kenyataan tersebut dipertikaikan, namun dia tetap tidak berganjak dengan kenyataanya.
“Saya single, belum ada teman istimewa pernah bertakhta dalam hati ini. Sekadar cinta monyet adalah masa umur 20 tahun. Apa pun cinta monyet tak boleh masuk dalam kategori cinta sejati, bukan?” soalnya tertawa saat membicarakan cerita hati wanitanya.
Pun begitu, Tania Liana Mohd. Redzuan Hudson atau lebih mesra dengan nama Tania Hudson ini mengakui bahawa kebanyakan lelaki yang menghampiri tidak meyakinkan untuk menjadi belahan jiwanya.
Alasannya, definisi cinta Tania terlalu tinggi dan mahal dan bukan sembarangan untuk senang-senang diberikan kepada mana-mana lelaki.
“Hati saya menolak untuk ada hubungan serius dengan lelaki, saya cuma selesa untuk berkawan saja.
“Bukan cinta golongan VVIP atau artis yang dikejar tau, cinta orang biasa pun saya terima sebab pengertian cinta terlalu mahal dan kompleks buat saya,” katanya bersungguh-sungguh.
Mengusik Tania seorang pemilih dan sebab itu dia tak punya kekasih lagi walaupun sudah mencecah 26 tahun, kedengaran hilaian ketawa kecil dalam bicaranya.
“Saya tak jumpa dengan orang yang sepatutnya lagi,” ringkasnya.
Mengorek kriteria lelaki tertentu yang diberi keutamaan, Tania memberitahu dia lebih tertarik pada lelaki ikhlas, amanah dan jujur.
Tambahan pula stigma buat artis yang mempunyai darah campuran adalah jenis moden dan mengamalkan gaya hidup terbuka sepertinya, menyebabkan Tania perlu lebih berhati-hati dalam tingkah laku.
“Saya ada asas tersendiri dalam bab memilih lelaki, kalau boleh ada karisma, patuh pada ajaran agama, rajin dan mempunyai sikap yang baik,” jelasnya.
Kalau begitu, sampai umur berapa Tania baru mahu memikirkan soal perkahwinan? Adakah Tania pernah merujuk kakaknya, Natasha Hudson yang punya pengalaman hidup berumah tangga yang luas dan pakar dalam persoalan hati sebelum ini?
“Saya dan kakak berkongsi apa saja cerita tentang kami sebab hanya kami berdua beradik saja. Apa yang dia lalui termasuk perkahwinan, perceraian dan kisah kerjaya dirinya adalah sumber inspirasi buat saya.
“Bila masuk bab kahwin, saya berhajat untuk mendirikan rumah tangga masa umur 30 tahun, mungkin sebab ketika itu saya dah stabil,” azam Tania.
Gerun lelaki psiko
Pelakon telefilem Nadira, Antara Denai, Lagu Kita dan Mayang Mengurai ini juga tidak dapat melupakan bagaimana dia berdepan dengan situasi dikejar lelaki psiko yang mengintip Tania saban hari pada bulan lalu.
Lelaki berusia 20-an yang juga peminat fanatik Tania itu didakwa setia menunggu Tania di rumahnya yang terletak di Subang Jaya, Selangor semata-mata untuk melihat pelakon yang juga model itu.
Pada mulanya Tania menganggap lelaki itu seperti kebanyakan peminat yang lain selepas terserempak di sebuah bengkel kereta namun paras kecurigaan meningkat selepas lelaki itu kerap muncul di hadapannya.
“Saya rimas bila lelaki ekstrem itu asyik mengekori dan cakap benda-benda pelik pada saya. Memang cemas sebab inilah kali pertama mengalami kejadian sebegini walaupun dah 25 tahun duduk di Subang Jaya.
“Dia asyik nak jumpa dan bunyikan loceng di rumah suruh saya keluar. Dia tahu semua aktiviti saya bila saya kemas kini status Twitter saya. Sebab risau keselamatan diri itu yang saya buat laporan polis.
“Sekarang, kes tu dah selesai lepas saya jumpa dengan abang kepada lelaki itu dan minta kerjasama. Alhamdulillah, fasa mimpi ngeri itu dah berakhir dan saya dah bebas buat apa saja,” syukurnya.
Ditanya apa pengajaran yang diperolehi selepas peristiwa itu, Tania mengatakan ada dua tauladan diperolehi.
Pertama, orang perempuan perlu berhati-hati ketika hendak keluar rumah dan seboleh-bolehnya perlu ada teman sebab banyak kes melibatkan penculikan terjadi sejak kebelakangan ini.
Kedua, jangan memberikan perincian aktiviti harian untuk memberitahu rakan-rakan di Twitter kerana itu boleh mendedahkan individu tertentu diserang sesuatu perkara di luar jangkaan.
Tak digugat orang baru
Mengubah topik persoalan kepada fenomena industri masa kini yang meriah dengan kehadiran pelakon baru yang rata-ratanya rupawan, berbakat dan sensasi, dan adakah dia tidak tergugat Tania hanya ketawa kecil.
“Kebanyakan pendatang baru punya cara tersendiri untuk mencipta nama, gunakan kecantikan atau apa saja.
“Memang wujud persaingan di kalangan artis baru dengan lama tetapi itu bukan bermakna yang sedia ada boleh dipinggirkan kerana semua berada dalam industri ini kerana bakat.
“Jadi lebih baik kalau kita buat kerja sendiri dan ambil inisiatif sendiri untuk kembangkan industri hiburan negara.,” hujahnya.
Ditanya bagaimana cara Tania mahu terus diingati di kalangan industri sedangkan kehadiran Tania sendiri seakan-akan seperti ‘untung sabut timbul; untung batu tenggelam’, wanita ini terdiam sebentar.
“Saya dah ada nama dan pengikut tersendiri. Selepas selesai berlakon dalam beberapa drama dan mendapat reaksi positif, saya bertambah yakin dan menjadi anak seni.
“Selebihnya, soal populariti atau tidak, saya serahkan kepada peminat sebab mereka sekarang ini dah pandai menilai keupayaan artis kesayangan mereka,” kata pelakon filem Ngorat ini di hujung perbualan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...