Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 17 December 2011

Saya bukan kaki gaduh: Awie



awie wings
Selain terkenal dengan imej rocknya, vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman sering kali dikaitkan dengan isu pergaduhan.

Terbaru, penyanyi ini dikhabarkan bergaduh di sebuah kelab di Pulau Langkawi.

Pelbagai versi mengenai hal pergaduhan ini telah dibuat tanpa mendapat tahu cerita sebenar daripada empunya tubuh.

Zass berkesempatan menemui pelakon teater Cuci The Musical ini semasa sidang media Konsert Awie & Ella di Istana Budaya bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.

Mengaku terlibat dalam pergaduhan yang dinyatakan, Awie bagaimanapun menafikan pergaduhan yang berlaku sangat teruk sehingga menyebabkan terdapat kesan lebam pada tubuhnya.

“Hal ini terjadi pada 22 November lalu apabila saya dan tiga rakan lain bercuti ke Pulau Langkawi. Saya tidak nafikan saya ada terlibat dengan pergaduhan di sebuah kelab di sana.

“Ingin saya nyatakan di sini, semua laporan yang keluar sebelum ini adalah tidak benar dan berupa fitnah semata-mata. Bukan saya yang mula mencari pasal dengan mereka,” katanya.

Penyanyi Iris ini juga memberitahu, punca pergaduhan berlaku kerana beberapa pengunjung di situ yang ingin merakamkan gambarnya di kelab.

Bagaimanapun, Awie menolak permintaan mereka secara baik dan memberitahu mereka boleh mengambil gambarnya di luar kelab.

“Saya cuba bercakap baik-baik dengan mereka, namun permintaan saya tidak diendahkan.

“Sebagai artis, saya tahu cara untuk menjaga nama baik saya. Jadi, apa perlunya saya mencari pasal dengan mereka di sana kerana saya tahu saya berada di tempat orang.

“Mereka membangkitkan kemarahan saya adalah apabila cuba memprovokasi dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak lalu membuatkan saya hilang sabar,” katanya.


Melibatkan orang kampung

Pergaduhan dalam kelab tidak terhenti di situ sahaja, apabila ia melibatkan penduduk kampung.

“Bayangkan, sebaik keluar daripada kelab itu, kira-kira 30 orang kampung menunggu untuk menyerang saya dan rakan-rakan. Selain itu, ada juga antara mereka datang membawa cangkul dan bertindak memecahkan cermin kereta sewa kami.

“Saya tidak faham motif mereka bertindak begitu. Sedangkan kunjungan saya ke situ bukannya untuk mencari masalah dengan sesiapa. Saya ke kelab untuk menikmati muzik bukannya menunjuk lagak seperti didakwa. Saya hanya mempertahankan diri pada malam tersebut,” katanya yang mempunyai sebidang tanah di pulau tersebut.

Sementara itu, penyanyi berusia 43 tahun ini memberitahu, pergaduhan tersebut segera dileraikan apabila pihak polis datang ke tempat kejadian.

Menurut Awie, kedua-dua pihak bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian yang berlaku.

“Saya ke sana untuk memaklumkan kepada pihak polis apa yang berlaku, namun tiada sebarang laporan dibuat baik daripada pihak saya dan juga pihak yang satu lagi.

“Diharap selepas ini, tiada lagi spekulasi yang timbul berkenaan isu tersebut,” katanya.

Kurang senang apabila dilabel sebagai kaki pukul, Awie menegaskan tindakannya selama ini adalah lebih kepada untuk melindungi diri.

“Segala yang berlaku ada sebabnya. Bukannya saya suka-suka untuk bergaduh. Namun, sebagai lelaki, apabila kita berasa tidak selamat dan rasa dihina, secara spontan kita akan cuba melindungi diri sendiri.

“Sebelum ini pun, sudah banyak pergaduhan yang berlaku melibatkan saya. Namun, semuanya adalah untuk mempertahankan diri saya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, sebuah blog hiburan melaporkan kunjungan Awie ke Pulau Langkawi adalah untuk menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...