Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 17 December 2011

Saehu semakin bijak guna peluang



saehu
Kekal bertahan sehingga minggu kesembilan, satu-satunya peserta dari Indonesia, Saehu, nyata memberi saingan sengit kepada peserta lain di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM).

Dibarisi tiga pelawak senegara, Eko Sugiyanto, Bocil Bancin dan Vicha, masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam menghidupkan watak pada setiap minggu di pentas Royal Teater Selangor, Shah Alam.

Minggu demi minggu, Saehu tidak pernah menghampakan penonton dan juri, apatah lagi mereka bijak menarik perhatian rakyat Malaysia dengan gaya pertuturan dan persembahan yang sentiasa diserikan dengan tepukan.

Bertemakan bebas dan peralatan, persembahan Saehu minggu ini berjaya memikat hati penonton dengan sketsa rumah orang tua dan tugas sebagai tukang cuci.

Sememangnya, kemunculan Bocil sentiasa ditunggu penonton kerana telatahnya yang mencuit hati dengan bentuk fizikalnya yang kecil seperti kanak-kanak.

Tidak keterlaluan jika menyifatkan kekuatan Saehu adalah Bocil dan ianya diakui oleh Eko dan Vicha. Walau bagaimanapun, mereka tidak pernah merasakan tergugat dengan keadaan itu menganggapnya sebagai kelebihan pada Saehu.

"Kami tahu, kekuatan kami adalah Bocil. Walaupun dia mempunyai kekurangan dari segi saiz badan, namun dia memiliki kelebihan yang kami sendiri tidak mampu untuk tandinginya.

"Kami tidak pernah merasa iri hati dengan apa yang Bocil ada, tetapi menganggap itu adalah salah satu kekuatan dan kelebihan kami. Walaupun kami belum pernah bergabung sebelum ini, kami tidak merasakan ada perbezaan kerana keserasian wujud sejak kami mula bersama.

"Nama Saehu yang bermaksud Guru Besar juga dicipta untuk MLM dan Saehu mewakili kami bertiga. Sebelum ini, kami bergerak individu di pentas yang berbeza. Insya-ALLAH, nama Saehu akan terus kekal untuk rakyat Malaysia," kata Vicha yang kini cuba mempelajari budaya di Malaysia.

Amalkan bacaan Yasin

Tidak pernah alpa dalam dunia seni, usaha Saehu bukan sahaja menerusi latihan fizikal, malah, setiap malam Jumaat, mereka mengamalkan bacaan surah Yasin.

Menurut Bocil yang juga penyampai stesen radio Dangdut di Indonesia, usaha dari segi latihan tidak boleh menjamin ketenangan untuk beraksi di pentas kerana ketenangan hanya akan dapat bila kita berserah kepada-Nya.

"Latihan yang cukup dan bertenaga tanpa ketenangan tidak akan menjamin aksi kita di pentas akan berhasil kerana saya tidak boleh buat sesuatu perkara jika jiwa tidak tenteram.

"Setiap malam Jumaat, kami akan baca surah Yasin. Namun, kita tidak harus bersandarkan kepada bacaan sahaja untuk menang. Jika tiada rezeki, terima sahaja dengan tangan terbuka.

"Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka akan terus berada di pentas MLM sehingga minggu ke sembilan kerana saingan di Malaysia sangat hebat. Alhamdulillah, inilah rezeki untuk terus berjuang di negara ini," katanya yang hampir setahun tidak berjumpa orang tuanya.

Bocil turut melahirkan keinginan berjumpa orang tuanya dan memohon agar pihak Astro menjemput mereka untuk menyaksikan persembahan di Malaysia.

"Hampir setahun saya tidak berjumpa ibu bapa saya kerana saya bekerja di Jakarta manakala mereka berada di kampung halaman, Aceh. Saya teringin sangat nak jumpa mereka.

"Kalau boleh, saya mohon agar Astro menjemput mereka datang untuk menyaksikan saya di MLM. Saya hanya berhubung dengan mereka menerusi telefon sahaja," katanya yang turut melahirkan keinginan untuk memiliki isteri yang bertudung dan mirip Datuk Siti Nurhaliza.

Peminat Malaysia lebih fanatik

Ditanya mengenai perbezaan sambutan peminat di Malaysia berbanding di negaranya, Eko memberitahu, peminat di sini lebih fanatik dan mesra.

"Kalau di Indonesia, mereka tidak mempedulikan artis dan menganggap tiada yang istimewa. Berbeza di sini, peminat akan meminta kita untuk bergambar bersama dan berbual mesra.

"Mereka juga sangat baik dan memberi sokongan untuk kami terus beraksi di Malaysia. Mereka sanggup datang ke MLM untuk menyaksikan persembahan kami. Itu satu penghormatan yang cukup berharga dan kami rasa sangat dihargai.

"Walaupun hanya kami wakil dari Indonesia, kami tidak merasa kerdil kerana masih mendapat sokongan daripada peminat di Malaysia," katanya yang mempunyai kumpulan sendiri, Barang Spesel, di Indonesia.

Bercerita mengenai idea untuk beraksi setiap minggu, Eko memberitahu, kebanyakan idea adalah darinya dan mereka akan mewarnai idea itu dengan pelbagai corak menerusi pandangan Vicha dan Bocil.

"Saya dipertanggungjawabkan untuk mencari idea. Namun, ada kalanya idea disumbangkan oleh Vicha dan Bocil. Kami akan sama-sama menghasilkannya dengan penuh kreatif dan bersesuaian dengan cita rasa penonton dan juri.

"Di awal penglibatan kami di MLM, terdapat sedikit kesukaran dri segi bahasa, namun ianya dapat diatasi kerana Malaysia dan Indonesia memiliki banyak persamaan," katanya lagi.

Adlin, Bawal Power tersingkir

Setelah lapan minggu bertahan di pentas MLM, akhirnya peserta solo, Adlin Aman Ramlie dan Bawal Power ( Sobri dan Bob Kuman) akhirnya menamatkan perjuangan setelah diumumkan tersingkir.

Percaturan berani Adlin yang mengkritik barisan juri akhirnya membawa kepada penyingkiran walaupun pada minggu lalu, Adlin berjaya memukau penonton dengan gelek Datuk M Daud Kilau.

Hasrat Adlin meneruskan perjuangan di Johor Bahru tidak kesampaian apabila dia seperti kekeringan idea dan kurang latihan kerana membuat persembahan spontan dan mengaitkan juri secara keseluruhannya.

Lain pula persembahan Bawal Power yang hambar dan mendatar. Di akhir persembahan pula, Sobri telah turun ke pentas untuk menghadiahkan sejambak bunga kepada Zaiton Sameon yang datang untuk menonton persembahan peserta MLM.

Menurut Sobri, dia tidak menyangka Zaiton Sameon akan hadir kerana dia telah membuat keputusan bertemu Zaiton di rumahnya.

"Saya tidak rancang semua itu, saya tidak tahu dia akan datang. Sebelum membuat persembahan, Zaiton datang ke bilik persalinan dan saya terkejut ketika itu.

"Saya menyuruh pembantu peribadi saya membelikan sejambak bunga untuknya. Saya tidak sangka, tindakan saya telah disalah ertikan. Sejujurnya saya tidak tahu dan tidak pernah rancang.

"Sebelum ini, saya telah berjanji nak pergi ke rumah Zaiton untuk menjelaskan segala kekeruhan sebelum ini. Tetapi, dia pula yang datang. Itu adalah sesuatu perkara yang tidak pernah saya bayangkan," katanya yang turut meletakkan Osbon sebagai bakal juara MLM.

Jangan aibkan orang: Chef Wan

Prestasi dan persembahan pada minggu ini kelihatan agak merosot dan juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, kelihatan agak emosional kerana persembahan yang diberikan kebanyakannya tidak menepati cita rasa.

Tambahan pula, Chef Wan turut melahirkan rasa tidak setuju untuk menggunakan imuniti yang mereka ada walaupun Zainal Abidin Hasan dan Datuk Siti Nurhaliza merasakan perlu.

Selain itu, Chef Wan turut menegur tindakan peserta solo, Adlin, yang telah menggunakan pentas untuk mengaibkan orang lain dengan persembahan 'berani mati' untuk mengkritik barisan juri.

"Saya tiada masalah dengan tindakan itu dan saya profesional. Tetapi, ada sebahagian penonton tidak suka cara itu. Banyak lagi idea lain boleh dihasilkan, kenapa perlu buat tindakan sebegitu?

"Beberapa kali sebelum ini, pernah saya nasihatkan agar jangan gunakan pentas sebagai tempat untuk mengaibkan orang dan mengheret masalah peribadi kerana itu bukanlah lawak yang penonton mahukan.

"Jangan bertindak terlalu 'biadap' dengan tidak menghormati juri. Lawak yang baik tidak perlu mengkritik atau mengheret sesiapa dalam persembahan. Jadi, saya tidak rasa tindakan juri untuk 'gulung tikar' dia adalah perkara tidak betul," katanya.

Chef Wan juga turut menyifatkan tindakan Sobri (Bawal Power) yang turun ke pentas menghadiahkan bunga kepada penyanyi terkenal, Zaiton Sameon, adalah suatu perkara yang tidak jujur dan mempunyai motif yang tidak pasti.

"Saya tak faham apa ingin dia buat ketika itu. Saya tidak rasa dia jujur berbuat demikian kerana sebelum ini, pelbagai kenyataan keluar daripadanya.
"Tidak perlu gunakan pentas untuk tujuan lain kerana saya datang ke MLM sebagai juri hanya untuk ketawa. Saya tidak bias dengan mana-mana peserta.

"Komedi adalah untuk semua orang dan saya tidak perlu bazirkan masa saya menyaksikan persembahan 'merapu'," katanya yang menganggap kumpulan Pimai, perlu menggandakan usaha.

Osbon atau Boboi?

Ramai yang membuat andaian, persaingan paling sengit setakat ini ialah kumpulan Boboi dan Osbon. Sementelah, masing-masing mempunyai kelebihan.

Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik terus mengekalkan konsep kanak-kanak seiring nama Boboi manakala Osbon, yang dibarisi Os dan Abon pula lebih bercorak Nusantara.

Namun, pada minggu ini, Osbon lebih menguasai carta dengan undian tertinggi 72 peratus dan diikuti rapat oleh Boboi 71 peratus.
Tempat ketiga pula, Saehu dengan 61 peratus, Syok (58 peratus), Pimai (55 peratus), manakala Adlin dan Bawal Power berkongsi peratusan sama iaitu 55.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, walaupun ketiga-tiga kumpulan berkongsi peratusan sama, ia disusun mengikut pembahagian peratusan kecil.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...