Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

Minda: Kelebihan mukmin kuat

KEHIDUPAN ini walaupun sementara hendaklah diisi dengan kebahagiaan dan juga kesejahteraan. Bagi mengisinya seseorang itu mestilah memperkukuhkan keimanan, ibadah dan ketakwaan dalam hati dan diri. Semua ini akan membina kekuatan hati dan jiwa setiap umat Islam.
Mengikut istilah, Muslimin adalah orang lelaki yang beragama Islam. Sementara Mukminin adalah orang lelaki yang percaya kepada Allah dan orang beriman. Sementara mukminat adalah mukmin perempuan yang beriman kepada Allah s.w.t.

Menjadi Muslimin dan Mukminin yang beriman seharusnya menjadi tujuan hidup setiap umat Islam. Tujuan hidup di dunia adalah beriman dan beramal kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Selain itu, melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Al-Quran sebagai petunjuk jalan yang lurus memberi panduan hidup kepada setiap Muslim. Di samping itu, ia mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Ini dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Alif Lam Ra (inilah) Kitab al-Quran, kami turunkan ia kepada engkau (Muhammad) supaya engkau dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang dengan izin Tuhan mereka kepada jalan Maha Perkasa dan Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1).

Dijelaskan, al-Quran diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk mengeluarkan umat manusia daripada alam kegelapan ke alam cahaya iaitu daripada kesesatan dan kebodohan, kejahilan dan kebiadaban kepada jalan kebenaran, keimanan dan peradaban yang lebih baik dan maju.

Seorang mukmin yang sanggup belajar dan memajukan diri dengan ibadah, keimanan dan ketakwaan sangat mulia di sisi Allah. Mereka ini diibaratkan sebagai manusia yang keluar daripada kegelapan kepada cahaya keimanan dan keilmuan. Nabi bersabda yang bermaksud: “Tidak ada orang yang lebih mulia di sisi Allah daripada seorang mukmin.” (Riwayat Ath Thabrani).

Kejayaan umat Islam di dunia adalah dengan amalan kebaikannya dan menjauhi segala keburukan. Setiap amalan kebajikan akan membantu seseorang di akhirat. Ini ditegaskan Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa menyenangi amalan kebaikannya dan menyedihkan (bersedih dengan) keburukannya maka dia adalah seorang mukmin.” (Riwayat Al Hakim).

Nabi juga bersabda yang bermaksud: “Allah ‘Azza Wajalla mewajibkan tujuh hak kepada seorang mukmin terhadap mukmin yang lain, iaitu pertama, melihat saudara seimannya dengan rasa hormat dalam pandangan matanya. Kedua, mencintainya di dalam hatinya. Ketiga menyantuninya dengan hartanya. Keempat, tidak mengumpat atau mendengar pengumpatan terhadap kawannya. Kelima, menjenguknya apabila sakit.
Keenam, melawat jenazahnya dan ketujuh, tidak menyebut kecuali kebaikannya sesudah ia meninggal.

Semua perkara ini harus menjadi amalan umat Islam sebagai seorang yang benar-benar ingin menjadikan dirinya mukmin. Dalam kehidupan seharian, umat Islam kadang-kadang terlalu sibuk dalam mengejar kemewahan dan mencari harta kekayaan sehingga lupa tanggungjawab sebagai mukmin.

Perkara yang baik ini tidak harus dikesampingkan dalam kehidupan seharian.

Kekuatan seseorang mukmin banyak bergantung pada ilmu, amalan dan ibadah yang dilakukannya. Penyatuan ummah juga banyak bergantung pada ketiga-tiga kekuatan ini dalam menjalani kehidupan seharian. Hal ini dijelaskan Nabi melalui sabdanya: “Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada seorang mukmin yang lemah dalam segala kebaikan. Peliharalah apa-apa yang menguntungkan kamu dan mohonlah pertolongan Allah dan janganlah lemah semangat (patah hati). Jika ditimpa sesuatu musibah janganlah berkata, “Oh andaikata aku tadi melakukan itu tentu akibatnya begini dan begitu, tetapi katakanlah, ini takdir Allah dan apa yang dikehendaki Allah pasti dikerjakannya. Ketahuilah, sesungguhnya ucapan ‘andaikata’ dan ‘jikalau’ membuka peluang bagi syaitan.” (Hadis riwayat Muslim).

Tokoh ilmuan Islam, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan, ciri-ciri masyarakat Islam yang kuat yang kita idamkan mestilah kuat dari segi akidah dan keimanan, syiar dan ibadat, pemikiran dan pemahaman, perasaan dan emosi, akhlak dan kesopanan, adab dan budaya, nilai-nilai kemanusiaan, syariat dan perundangan. Mereka juga kuat dari segi ekonomi dan harta.

Lantaran itu, semua kekuatan ini mesti berlandaskan cara hidup Islam. Melaluinya akan dapat membina dan mengetengahkan ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang menjadi idaman umat Islam di seluruh dunia. Hal ini akan dapat mengukuhkan masyarakat Islam dari pelbagai sudut iaitu ekonomi, politik dan sosial.

Sebagai contoh, Abu Ubaidah r.a. seorang panglima perang dan sahabat Nabi yang teguh Islamnya, kuat imannya dan benar-benar bulat berserah diri kepada Allah. Oleh sebab itu, dia termasuk seorang tokoh Islam bersemangat waja dan tinggi keikhlasannya. Beliau pernah berkata: “Ketahuilah berapa banyak orang pakaiannya putih, tetapi kotor agamanya dan berapa banyak yang berasa mulia hari ini, tetapi terhina dan sia-sia hari esoknya.” Menurut pandangan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, hubungan antara iman dan harapan sangat penting. Iman berhubung dengan kebenaran yang ada di dalam hati, sedangkan amal perbuatan jelas bukan iman, lantaran iman itu letaknya hanya di dalam hati, ertinya iman membenarkan bahawa Allah adalah Tuhan dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah dan kebenaran itu bukan diperlihatkan dengan ucapan, namun tersimpan di dalam hati.

Oleh itu, dalam menjalani kehidupan seharian, pendidikan dan ilmu sangat penting. Pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, jasmani dan kemasyarakatan dapat membantu ke arah kekuatan penyatuan ummah. Melalui pendidikan akan dapat membentuk insan bersikap adil, lemah lembut, pengasih dan penyayang, berdisiplin dan dapat membentuk Muslimin dan Mukminin bertakwa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...