Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday, 6 December 2011

Perlu beriman kepada Allah


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie bagi mengelak timbulnya kecelaruan di kalangan umat Islam.
Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam berkata muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam yang bersidang pada 15 Disember tahun lalu merumuskan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu menguasai al-Quran dan hadis serta menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai idola.

“Peguam syarie juga perlu menguasai bahasa arab, ilmu usul fiqh dan fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah s.w.t supaya tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada keimanan kepada Allah s.w.t dan demi kemasalahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.
“Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, muzakarah tersebut sudah memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie,” katanya ketika berhujah berhubung permohonan Victoria Jayaseele Martin untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam sahaja dibenarkan sebagai pengamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Sulaiman berkata, ketidakbenaran pelantikan orang bukan Islam itu juga demi mengelak sebarang keburukan berlaku dan mengutamakan kepentingan umat Islam daripada kepentingan individu.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai peguam syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Sementara itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Victoria berhujah bahawa anak guamnya mempunyai kelayakan dalam perundangan Islam dan telah memperoleh Diploma dalam Undang-Undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh menjadi peguam syarie dan hanya orang Islam yang layak jadi peguam syarie.
Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan 17 Mac ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan itu.

Pada 19 Mei, Victoria memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menolak permohonannya bagi diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Dalam permohonannya itu, Victoria, 49, menamakan MAIWP selaku responden.

Beliau memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie.

Antara lain, Victoria, mahu satu perintah mandamus untuk meminta MAIWP menerima beliau sebagai peguam syarie.

Beliau juga meminta satu pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...