Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 19 December 2011

Makan makanan anjing

KUALA LUMPUR: Majikan kejam. Itu gelaran layak diberikan kepada sepasang suami isteri yang bukan sahaja sanggup meletakkan senduk panas ke lengan pembantu rumah mereka hingga melecur malah mangsa turut dipaksa makan makanan anjing di rumah pasangan itu.
Dalam kejadian di rumah pasangan itu di Taman Desa, di sini, mangsa yang berusia 23 tahun dan berasal dari Sri Lanka kemudian nekad melarikan diri ke rumah kakaknya di Tangkak, Johor sebelum membuat laporan polis.

Menceritakan kembali kejadian yang menimpa mangsa, sumber polis berkata mangsa mula bekerja dengan pasangan suami isteri yang bekerja sendiri itu sejak hujung Oktober lalu dan pada mulanya, dia dilayan dengan baik.
Menurutnya, nasib malang mangsa bermula hujung bulan lalu apabila pasangan itu mula berlaku kasar kepada mangsa.

“Selepas tiga minggu bekerja, wanita itu yang sepatutnya bekerja di dua rumah pasangan terbabit dipaksa bekerja di rumah milik ibu pasangan berkenaan.

“Mangsa pernah didera dengan meletakkan senduk panas di lengannya yang mengakibatkan mangsa mengalami kesan melecur hanya kerana kesilapan kecil ketika memasak,” katanya kepada Harian Metro, di sini.

Beliau berkata, selang beberapa hari kemudian, mangsa dibelasah dengan kayu mop yang mengakibatkan kecederaan di kepala dan kaki.

“Penderitaan mangsa berakhir selepas dia melarikan diri dari rumah majikannya dengan alasan hendak membawa anjing peliharaan mereka untuk bersiar-siar kelmarin sebelum melarikan diri ke rumah kakaknya di Tangkak, Johor hasil bantuan seorang pemandu teksi,” katanya.
Sumber berkata, hasil bantuan kakak mangsa dan suaminya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak sebelum kes berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (IPD) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan akan meminta bantuan polis di daerah Ledang, Johor untuk keterangan mangsa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...