Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 5 December 2011

Lebih Separuh tanah di Malaysia adalah hutan

Malaysia sehingga kini berupaya mengekalkan sejumlah 56.4 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai tanah berhutan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas.
 
Beliau berkata, peratusan itu adalah antara pencapaian yang patut dibanggakan kerana banyak negara tidak berupaya berbuat demikian kerana kebanyakan hutan mereka telah dibuka untuk pembangunan infrastruktur yang berlebihan.
 
"Kejayaan tersebut amat besar maknanya kerana Malaysia masih merupakan sebuah negara yang membangun di mana pembangunan dan pertukaran kegunaan tanah hutan kepada kegunaan lain sentiasa berlaku," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-16 di sini, semalam.
 
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan­nya, Tan Sri Panglima Joseph Kurup.
 
Douglas berkata, tanah berhutan sentiasa dijadikan bank tanah (land bank) untuk pelbagai projek pembangunan bagi membolehkan Malaysia terus maju.
 
Beliau berkata, cabaran penting dalam pengurusan hutan hari ini adalah mengim­bangi persaingan dan pelbagai gunaan tanah untuk aktiviti perhutanan.
 
Katanya, hutan bukan lagi hanya sebagai pengeluar satu produk, tetapi perkhidmatannya amat penting dalam menghasilkan udara dan air bersih serta sebagai penyerap karbon dioksida dan pembasmi kesan rumah hijau.
 
Douglas berkata, kerajaan akan terus komited dalam Pengurusan Hutan Mampan dan amalan hutan yang baik untuk kesejahteraan hidup melalui pengeluaran pelbagai produk dan perkhidmatan hutan.
 
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang merasmikan persidangan tersebut berkata Melaka telah mewartakan kawasan berhutan seluas 5,327 hektar iaitu kira-kira 3.2 peratus dari keluasan tanah negeri ini sebagai hutan simpan kekal.
 
“Usaha ini diambil atas komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pengekalan kawasan berhutan bagi menyediakan sumber alam sekitar yang bersih dan pemeliharaan kepelbagaian biodiversiti untuk kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk R Perumal.
 
Menurutnya, Melaka akan terus mempertingkatkan usaha menanam pokok sehingga mencapai sasaran menyamai jumlah penduduk negeri ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...