Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Kemelut SUPP

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, menyifatkan dua kumpulan yang bertelagah dalam parti itu sekarang sebagai ‘kucing hitam dan kucing putih’, beliau kesal kerana gagal membezakan kedua-duanya daripada awal.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada perwakilan kerana kini suasana dalam parti semakin tegang berikutan pertelagahan dua ‘kucing’ itu dan ia sepatutnya tidak berlaku jika beliau dapat membezakan mereka dari awal lagi.
“Dalam keadaan sebenar, apa saja rupa kucing itu sama ada putih, hitam, kelabu atau berbelang semuanya mampu melaksanakan tugas sama iaitu membunuh tikus.
“Tetapi dalam politik, perbezaan warna bulu kucing itu mampu menjejaskan kestabilan parti dan itu yang berlaku dalam SUPP sekarang. Saya meminta maaf kepada anda semua, kerana gagal mengesan dan membezakan dua kucing ini dari mula lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Presiden di hadapan 297 daripada 551 perwakilan pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP, di sini, semalam.

Justeru, Dr Chan yang akan melepaskan jawatannya selaku Presiden parti itu berharap pemimpin baru yang dipilih pada TDC kali ini akan membawa lebih banyak ‘kucing putih’ dalam SUPP bagi mengukuhkan semula parti itu yang menerima tamparan hebat apabila tewas teruk pada pilihan raya negeri lalu.

Dr Chan yang menerajui SUPP sejak 1996 turut menyifatkan parti itu ibarat pokok yang semakin kering dengan daunnya sudah mula luruh, namun memiliki akar tunjang yang kuat untuk memastikannya terus hidup.
“Akar yang kuat inilah yang akan memastikan pokok itu hidup subur semula, walaupun kini rantingnya sudah mula kering dan daunnya berguguran,” katanya.
Akar yang beliau maksudkan ialah barisan kepemimpinan baru yang dipilih pada TDC kali ini yang beliau percaya mampu meneruskan khidmat untuk rakyat Sarawak.

“Kepemimpinan baru ini saya percaya akan memberi nafas baru kepada SUPP dan saya juga mahu mereka ini tidak terlalu memikirkan kedudukan dalam parti atau kerajaan, sebaliknya kekal dengan matlamat asas kita membela rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...