Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Keikhlasan benteng paling berkesan menjaga integriti graduan


HARI istiadat konvokesyen yang sedang berlangsung di seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sebenarnya memberi isyarat bermulanya garisan hala tuju graduan bagi menyumbangkan idea dan tenaga demi memajukan agama, bangsa dan negara.
Hidup sebagai mahasiswa di alam kampus kini telah berubah kepada alam pekerjaan yang sangat menuntut nilai-nilai berkualiti. Salah satu tuntutan di alam pekerjaan ialah mengamalkan nilai integriti - ketulusan hati dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Rapuhnya integriti dalam diri manusia bukan hanya akan menghambat usaha-usaha kepada pembinaan sebuah negara bangsa malahan merosakkan imej Islam yang mengutamakan pembersihan hati dan jiwa semata-mata sebagai ibadat kepada Allah SWT.
Ilmu pengetahuan dan kemahiran merupakan dua asas yang sering berkait rapat dengan persaingan yang berlaku dalam dunia pekerjaan. Namun begitu, kemurnian dunia pekerjaan juga wajar membentuk pola pemikiran tentang pentingnya integriti atau dengan bahasa mudah keikhlasan hati melakukan pekerjaan hanya kerana untuk mendapat keredaan Allah SWT melebihi daripada wang ringgit semata-mata.
Bagaimanakah personaliti manusia yang tulus hatinya sedangkan urusan keikhlasan ini hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang ada dalam jiwa seseorang? Secara umumnya kita mampu mengenali golongan ini tidak akan sekali-kali boleh disogokkan dengan apa-apa jua habuan dengan pangkat, kekuasaan, kebendaan hatta diberi pelbagai hadiah yang tidak ternilai.
Keikhlasan hati akan menjadi benteng yang paling berkesan pada jiwa kita daripada gejala yang menjijikkan ketika mencari pendapatan seperti perbuatan rasuah, menyalahgunakan kuasa, melebihkan kepentingan peribadi daripada kepentingan awam, kelemahan dan ketidakcekapan kualiti pengurusan.
Semakin tinggi ilmu pengetahuan semakin besarlah cabaran untuk mempraktikkan integriti ke seluruh aktiviti kehidupan sebagai orang Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai ganjaran mengerjakan amalan dengan keikhlasan maksudnya "Apabila salah seorang daripada kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya." (Hadis riwayat Bukhari)
Islam tidak melarang umatnya untuk mencari seberapa banyak pendapatan bagi menanggung kos sara hidup selagi ia tidak dicemari dengan perlakuan yang diharamkan. Nilai material tidak dijadikan objektif hidup tetapi menjadi sebahagian alat memenuhi keperluan asas manusia.
Selain itu Rasulullah SAW turut mengingatkan betapa pentingnya keikhlasan hati dalam setiap pekerjaan yang dilakukan agar sentiasa mendapat perlindungan dan keberkatan Allah SWT. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu." (Hadis riwayat Muslim)
Firman Allah SWT mengingatkan agar kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dan menjauhi rezeki dari sumber-sumber yang haram boleh disaksikan dalam Al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu beribadat kepada-Nya". (al-Baqarah; 172)
Kekurangan nilai integriti kepada diri graduan wajar dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar tidak mencemarkan nilai ilmu yang dipelajari ketika berada di alam kampus.
Sifat suka mengampu, membodek dan berpura-pura merupakan watak antagonis dalam menerapkan integriti. Kesan terhadap sifat-sifat tersebut bukan sahaja mengundang kerendahan kualiti kerja tetapi lebih membimbangkan apabila wang ringgit menjadi ukuran utama dalam diri manusia sehingga membebankan kehidupan manusia yang lain.
Tanpa jati diri, akhirnya sesebuah bangsa akan hilang identitinya dan tanpa identiti, seseorang itu akan hilang keyakinan, kecintaan dan kesetiaan terhadap agama, bangsa dan negaranya sendiri. Inilah yang paling membimbangkan apabila golongan terpelajar tidak berdaya untuk menentukan arah dan gerak kerja yang sering rapuh apabila berhadapan dengan segala jenis rasuah atau sogokan.
Akibat kelemahan tersebut ia bukan hanya sanggup menggadai dirinya sendiri malahan sanggup menjual maruah agama Islam, bangsa dan negara juga akan dikorbankan apabila nafsu telah menguasai hati.
Berpeganglah kepada konsep Halalan Toyyiban dalam apa jua pekerjaan yang dilaksanakan agar sentiasa mendapat rahmat Allah SWT dalam kehidupan yang sarat dengan dugaan. Bukankah nilai integriti juga sebahagian daripada semangat patriotik kepada negara?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...