Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Harus lelaki memakai gelang untuk berubat



SOALAN 1
Baru-baru ini saya telah ditunjukkan sejenis gelang tangan yang bermagnet di mana ia mampu menstabilkan ion-ion di dalam aliran darah badan kita. Secara tidak langsung ia dapat memberi kebaikan dari segi kesihatan dan juga dapat menyembuhkan beberapa penyakit dengan izin Allah.
Saya ingin tahu apakah hukumnya bagi kaum lelaki untuk memakainya untuk kebaikan kesihatan?
JAWAPAN:
Islam menegah umatnya dari kalangan lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Namun sekiranya gelang magnet ini terbukti manfaatnya dari sudut perubatan dan diperakui keberkesanannya, maka ia harus dipakai oleh orang lelaki dengan tujuan berubat.
Di dalam Islam, ada kalanya Islam mengharuskan perubatan dengan perkara haram atau bahan yang haram. Cuma kaedah fikah mendasari perkara ini “sesuatu darurat (keperluan yang mendesak) diukur mengikut kadar keperluannya.”
Maksudnya gelang itu dipakai mengikut keperluan sahaja. Saya juga ada melihat orang lelaki memakai gelang tangan yang difahamkan dapat membantu kelancaran pengaliran darah. Asalkan gelang itu direka khas dan bentuknya untuk orang lelaki dan dimaklumi sebagai gelang membantu pengaliran dan kelancaran darah.
SOALAN 2
Saya ingin tahu tentang amalan harian seperti istighfar, selawat dan sebagainya yang dibaca 1,000 kali setiap hari. Adakah ia mesti dibuat dibuat berterusan sehingga sampai jumlah 1,000 atau boleh berhenti (kerana ada urusan lain) dan disambung kembali hingga genap jumlahnya?
JAWAPAN:
Sebaik-sebaiknya dibaca berterusan (afdal), namun tidak mengapa jika seseorang itu membacanya dengan membahagi-bahaginya pada masa yang berasingan.
Bukan mudah untuk menghabiskan istighfar atau selawat sebanyak 1,000, melainkan kita benar-benar ada waktu lapang. Dalam kesibukan seharian bolehlah bacaan-bacaan tersebut diagihkan mengikut kelapangan seseorang.
Contohnya, selepas solat subuh 100 kali, ketika memandu (100), selepas solat zuhur (100), selepas solat asar (100) dan seterusnya. Perlu kita ingat bahawa berzikir ini mengingati Allah serta memujinya. Maka tidak salah dalam sehari kita beristighfar dalam masa yang berlainan, yang penting manusia tidak lalai dari mengingat Allah s.w.t.
Firman Allah yang bermaksud; Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. (al-Baqarah: 152).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...