Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 19 December 2011

Johor tidak muflis: Ghani



Catat lebihan dalam Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM158.36 juta

NUSAJAYA: Kedudukan kewangan kerajaan Johor berada pada tahap yang baik sekali gus tuduhan liar negeri berkenaan bakal muflis yang dilontarkan pihak pembangkang menerusi ceramah mereka tidak berasas dan cubaan mengelirukan rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kewangan negeri ini mantap apabila Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri meningkat sebanyak 118.6 peratus kepada RM505.1 juta pada tahun lalu berbanding RM231.39 juta pada 2009.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan dan Perancangan negeri, berkata, kerajaan negeri berjaya mencatatkan lebihan dalam Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM158.36 juta, manakala defisit terkumpul pada tahun yang sama berkurangan kepada RM325.69 juta atau 32.7 peratus berbanding RM484.05 pada 2009.

“Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Negeri Johor 2010, kerajaan negeri diberikan Sijil Bersih selama sembilan tahun berturut-turut kerana berjaya mengekalkan prestasi cemerlang.

“Malah, kerajaan negeri menerusi Perbendaharaan Negeri diberikan pengiktirafan anugerah tertinggi empat bintang oleh Ketua Audit Negara dalam pengurusan kewangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman (BN-Machap) yang membangkitkan isu wujudnya tuduhan liar parti pembangkang bahawa Johor bakal muflis menerusi ceramah mereka khususnya di kawasan kampung pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, semalam.
Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri masih mampu menampung perbelanjaan pengurusan setiap tahun menerusi kutipan hasil dibuat.

“Kerajaan negeri juga mampu melaksanakan pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Untuk itu, sebanyak RM1.01 bilion diperuntukkan untuk menjalankan program berkenaan bagi tempoh lima tahun melalui sumber kerajaan negeri sendiri.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab dan proaktif dalam melaksanakan program pembangunan yang akan membawa kesan langsung kepada masyarakat terutama penduduk luar bandar. Antaranya pembangunan jalan raya, penyelenggaraan parit dan sungai, program bantuan industri asas tani dan haiwan serta bantuan rakyat termiskin," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...