Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

isteri Jimmy Shanley berjudi utk hilangkan tension


SHAH ALAM 15 Dis. - Pengacara Jimmy Shanley hari ini mendakwa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy nusyuz atau ingkar perintahnya kerana masih berjudi walaupun berjanji untuk meninggalkan tabiat buruk itu selepas mereka berkahwin.
Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini berkata, kejadian itu berlaku pada hari jadi bapa mertuanya, 11 Oktober 2010 apabila isterinya itu tidak pulang-pulang ke rumah walaupun dia yang sepatutnya membelikan kek hari jadi.
''Dia menghilangkan diri dengan bekas kakak ipar dan kawan baiknya, Diana. Semua orang tunggu isteri saya sebab dia janji hendak beli kek.
''Bila dia balik, saya tanya dia, awak berjudi lagi ke? Dia dengan besar hati menjawab, 'aah, berjudi'. Saya tanya lagi kenapa berjudi, Dia kata sebab nak hilangkan tension,'' kata Jimmy semasa disoal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus.
Jimmy memfailkan permohonan kembali taat terhadap Nursuhaila pada 3 Januari lalu diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari lepas.
Permohonan itu dikemukakan selepas Jimmy dan Nursuhaila mula tinggal berasingan pada 21 Oktober tahun lalu.
Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010 dengan mas kahwin sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.
Jimmy, 31, atau nama sebenarnya, Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh yang pernah menjadi pengacara rancangan Trek Selebriti di saluran Astro Ria dan Nursuhaila, 25, kini dikurniakan seorang anak perempuan, Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu.
Menurut Jimmy, beliau bersetuju mengahwini Nursuhaila setelah wanita itu berjanji akan melayannya dengan baik serta meninggalkan semua tabiat buruk seperti suka merokok dan berjudi melalui Internet mahupun menggunakan daun terup.
Malangnya dakwa beliau, isterinya gagal menunaikan janji untuk menjadi isteri yang solehah malah mengingkari perintahnya sebagai seorang suami yang sah sejak hari pertama perkahwinan mereka sehingga hari ini.
''Isteri saya nusyuz sejak malam pertama perkahwinan iaitu pukul 12 tengah malam, 2 Oktober 2010 sehingga ke hari ini, saat ini. Pada malam itu saya ajak balik ke rumah saya sebab banyak perkara hendak dibincangkan sedangkan orang ramai.
''Saya mahu buka buku baru sebab banyak pergaduhan berlaku sebelum perkahwinan. Saya cuba membina institusi keluarga yang baik tetapi isteri saya menjawab, Ustaz Jimmy. Tolong jangan bagi ceramah pada malam ini boleh tak,'' katanya lagi.
Jimmy mendakwa, mereka tidak bersama pada malam itu selepas tercetus pergaduhan antara mereka berdua. Dia bagaimanapun masih tidur di bilik isterinya selepas disuruh ibu mertua kerana malu kepada saudara-mara.
Katanya, isterinya hanya datang sekali sahaja ke rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya pada 6 Oktober tahun lalu.
Menurut beliau, pada pukul 11.52 malam, 2 Oktober 2010, isterinya sekali lagi mengingkarinya apabila sibuk melayan kawan-kawan di laman sosial Facebook (FB) dan Blackberry Messenger (BBM) semasa berdua-duaan di bilik di Hotel Traders selepas mereka bersanding pada malam itu.
''Isteri saya sibuk melayan kawan FB dan BBM. Saya bertanya, bolehkan kita bersama, dia kata 'up to you lah', Bila saya tanya penting sangat ke layan kawan-kawan di FB, dia jawab ya, lebih penting daripada melayani suami,'' jelasnya.
Dakwa Jimmy, kejadian yang sama berlaku sekali lagi semasa mereka berada di Hotel Park Avenue di Sungai Petani, Kedah pada pukul 12.15 tengah malam, 9 Oktober tahun yang sama apabila Nursuhaila meninggalkannya seorang diri untuk keluar makan bersama kawan-kawan dan hanya pulang pukul 3 pagi.
Katanya, beliau tidak pernah mengizinkan isterinya berbuat demikian dan bertindak membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi: ''It's ok lah. You know you tak boleh berpisah dengan your friends tapi dengan I you boleh."
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Saharuddin Selamat bersambung 23 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...