Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain menggesa Zainal Abidin tidak membuang masa mahkamah dengan hadir pada setiap prosiding bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap mahkamah dalam menyelesaikan kes-kes syariah mengikut masa yang ditetapkan.
''Sekiranya defendan gagal hadir pada prosiding akan datang, mahkamah akan mengenakan kos terhadapnya,'' ujarnya.
Mohd. Amran menyatakan demikian kepada peguam syarie, Mohd. Hadi Ar Rais Muhamad yang mengendalikan kes bagi pihak peguam syarie, Abdul Halim Bahari yang mewakili Zainal Abidin.
Mohd. Hadi sebelum itu memaklumkan, Zainal yang menghubunginya malam tadi memohon maaf kepada mahkamah kerana tidak dapat hadir atas alasan mempunyai urusan kecemasan.
Sementara itu, prosiding diteruskan dengan bekas isteri penyanyi tersebut, Natasya Gabriel Abdullah, 52, mengemukakan resit-resit yuran kelas tambahan dua anaknya, Mikhail, 18, dan Timur, 16, yang berjumlah RM42,692.80.
Menurut Natasya yang disoal peguam syarie, Najatus Safiah Abdul Hamid, yuran tersebut dibayar olehnya sejak 2003 sehingga kini.
Najatus Safiah merupakan peguam yang mengendalikan perbicaraan hari ini bagi pihak peguam utama Natasya, Norhusniah Husin.
Mahkamah seterusnya menetapkan 20 dan 21 Disember ini bagi memberi peluang kepada peguam syarie mewakili Zainal selaku pihak defendan untuk menyoal balas Natasya.
Natasya yang merupakan bekas model menuntut nafkah anak berjumlah RM167,102.04 ke atas bekas vokalis kumpulan Headwind itu pada tahun lalu.
Jumlah tersebut merangkumi yuran persekolahan, kelas agama dan bayaran perubatan sejak 2002 sehingga kini.
Natasya bernikah dengan Zainal, 52, atau nama penuhnya, Zainal Abidin Mohamed pada 24 Mac 1987 dan mereka bercerai pada 12 Disember 2000.
No comments:
Post a Comment