Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 17 December 2011

Finas :Kos Festival Dokumentari RM400,000


KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Naguib Razak menafikan khabar angin mengatakan dia melakukan penyalahgunaan kuasa pada penganjuran Festival Filem Dokumentari dengan kos RM400,000 di perbadanan itu Ahad lalu.
Menurut Mohd. Naguib yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Finas sejak 107 hari lalu jumlah itu bukan sahaja palsu, tetapi dia turut menyifatkan berita itu salah satu usaha untuk menjatuhkan nama baiknya di agensi kerajaan tersebut.
“Khabar angin itu tidak betul sama sekali kerana kos penganjuran festival itu ialah RM300,000 dan bukannya RM400,000 di mana sebelum itu bajet penganjurannya sekitar RM100,000. Tetapi kali ini kosnya meningkat sedikit kerana kami menjemput hampir 50 tetamu dari luar negara bagi memeriahkan lagi festival itu. Ia penting bagi memeriahkan lagi festival itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Padang sidang media itu Mohd. Naguib menerangkan perkembangan Finas pada sesi dialog bersama media massa sempena 100 hari pelantikannya sebagai Ketua Pengarah Finas yang terletak di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) itu.
Namun, bekas pengarah filem dokumentari itu menjelaskan, dia tidak menafikan berita yang mengatakannya mengambil seorang Pembantu Khas bagi membantunya menjalankan kerja-kerjanya di Finas baru-baru ini.
“Saya memang banyak kerja di Finas sehingga selalu balik jauh malam. Saya perlukan seorang Pembantu Khas bagi menguruskan jadual waktu dan aktiviti kerja saya pada setiap hari. Bagi saya banyak juga agensi kerajaan lain yang mengambil pembantu khas tetapi ia tidak pula menjadi isu,” ujarnya.
Turut serta pada sesi dialog itu ialah Penolong Ketua Pengarah Pembangunan Finas, Fatimah Ahmad dan Penolong Ketua Pengarah Operasi Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...