Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Aura barang kemas

WANITA dan barangan perhiasan sama ada rantai leher, gelang atau anting-anting pasti sukar dipisahkan. Apatah lagi apabila merasakan penampilan diri lebih sempurna sekiranya mengenakan perhiasan berkenaan.
Malah, ia seolah-olah memiliki aura tersendiri yang mampu menarik minat setiap wanita tanpa mengira bangsa untuk memilikinya.

Dengan kilauan susunan butiran kristal ataupun batuan yang digunakan serta rekaan yang unik, perhiasan barangan kemas sering menjadi kegilaan ramai.

Bagi pengusaha barangan kemas Hyderabad Pearls, Md Ghouse Ahmed, penggunaan batuan seperti jed, mutiara, kristal dan batu delima yang disadur dengan emas dapat memberikan pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan.


Sungguhpun tidak dapat menandingi barangan kemas yang diperbuat daripada emas asli, ia masih meninggalkan kesan berbeza kepada si pemakai.

Menurutnya, kualiti yang diterapkan dalam barangan kemas buatan tangan yang disadur emas ini amat tinggi kerana barangan yang dipamerkan tidak mudah pudar selain dihasilkan mengikut piawaian tertentu.

“Kami hanya menggunakan bahan mentah berkualiti terbaik untuk setiap barangan kemas yang dihasilkan bagi memenuhi kehendak pengguna yang pelbagai.

“Walaupun menggunakan saduran emas, hasil yang diperoleh menyerupai barangan kemas asli dan harganya lebih murah dan berpatutan,” ketika ditemui pada Karnival Deepavali Air Asia Ke-9 di tempat letak kereta KL Sentral, baru-baru ini.

Dia yang sudah sembilan tahun menyertai karnival itu berkata, maklum balas yang diterima pengguna tempatan amat menggalakkan terutama apabila mendapatkan rekaan terkini yang belum pernah ada di pasaran setempat.

Pengguna tempatan juga amat ramah dan meminati fesyen barangan kemas berbeza sekali gus memberikan banyak cabaran dalam menghasilkan rekaan terkini.

“Saya boleh katakan penghasilan rekaan barangan kemas dengan corak berbeza sememangnya menjadi daya penarik terkuat barangan kemas ini.

“Kreativiti yang tidak berpenghujung dalam mengubah suai setiap rekaan barangan kemas adalah kemahiran yang perlu ada bagi pembuat barangan kemas kerana ia penting untuk mengelak kekeringan idea dalam mencipta corak dan bentuk terbaru,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...