Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Anak dalam bahaya jika ibu penagih

KUALA LUMPUR: “Seorang wanita, janda dan lebih penting, bergelar ibu tidak seharusnya terjebak dalam penyalahgunaan najis dadah. Namun jika nasi sudah jadi bubur, wanita itu perlu segera diselamatkan dan lebih penting, anaknya perlu mendapat perlindungan,” kata Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Hussein Habil.
Menurut Hussein, seorang penagih tegar tidak mempedulikan apa saja yang berada di sekeliling mereka, walaupun darah daging sendiri.

“Saya kerap menerima kes yang hampir sama seperti ini. Begitupun, kebanyakan penagih terbabit adalah lelaki dan bergelar suami yang tergamak ‘menjual’ isteri untuk mendapatkan wang membeli dadah.
“Namun, bila ia terjadi kepada seorang wanita dan ibu, kes ini menjadi lebih berat. Bayangkan saja apa yang akan terjadi dengan anaknya bila si ibu menghisap dadah depan anak.

“Lagipun, ibu adalah insan paling dekat dan rapat dengan anaknya. Jika bukan sekarang (kerana anak masih kecil), mungkin satu hari nanti si anak akan bertanya ibu apa yang dihisapnya. Paling teruk, anak pula mengikut jejak ibu,” katanya.

Hussein berkata, si ibu sepatutnya menyerahkan anaknya kepada badan kebajikan bagi mengelakkan nasib sama terjadi kepada anak kecil terbabit.

“Saya tidak faham mengapa si ibu sanggup menjaga anaknya sedangkan dia tidak berduit, penagih tegar dan tidak bekerja. Tidakkah dia terfikir apa bakal terjadi terhadap anaknya? “Namun, jika diselami dunia seorang penagih, saya pasti mereka tidak boleh berfikir dengan waras. Sebab itu, anak diabaikan begitu saja. Justeru, agensi kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap kes seperti ini.

“Ibunya harus dirawat, dimasukkan ke hospital (jika perlu) dan dibimbing sehingga benar-benar bersih daripada najis dadah, manakala anaknya dilindungi dan dibesarkan dengan cara tepat supaya tidak menjadi seperti ibu mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...