Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

70,000 tak periksa

ALOR GAJAH: Lebih 70,000 kenderaan komersial berdaftar terutama lori di negara ini, dikesan gagal hadir melakukan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Sdn Bhd di seluruh negara, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hisham Othman berkata, kegagalan pemilik kenderaan komersial menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom dikhuatiri boleh mendedahkan kepada pelbagai bahaya terutama kemalangan jalan raya kerana kemungkinan kenderaan tidak diselenggara dengan baik.

Beliau berkata, ketika ini semua kenderaan komersial diwajibkan menjalani pemeriksaan di Puspakom setiap enam bulan bagi memastikan ia selamat digunakan di jalan raya dan tidak membahayakan pengguna lain.
“Kami boleh mengesan jika ada pemilik kenderaan komersial tidak hadir menjalani pemeriksaan enam bulan sekali itu kerana mempunyai data ketika pemeriksaan pertama kenderaan berkenaan,” katanya pada majlis Media Familiarisation Tour di Puspakom Alor Gajah, di sini, semalam.

Menurut Hisham, pelbagai faktor dikenal pasti menjadi punca pemilik kenderaan komersial tidak datang menjalani pemeriksaan di Puspakom.

“Antaranya mungkin kenderaan tidak lagi aktif selain pemiliknya memang tidak mematuhi undang-undang.

“Selain itu, kemungkinan data di Puspakom tidak dikemas kini berkaitan pemilik kenderaan komersial berkenaan misalnya kenderaan itu sudah tidak digunakan atau dijual,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tiada kuasa penguatkuasaan dan antara tindakan bagi mengatasi masalah itu ialah menghantar notis peringatan kepada pemilik kenderaan.
“Kami menghantar sendiri notis berkaitan dan saya difahamkan antara 15 hingga 22 peratus pemilik kenderaan berkenaan datang melakukan pemeriksaan di Puspakom selepas itu.

“Puspakom juga menyerahkan nama-nama pemilik kenderaan komersial terbabit kepada Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hisham berkata, Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (HPI) yang dilaksanakan bermula 15 Jun lalu mengikut Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan) 2010 kini berjalan lancar dan mendapat sokongan penuh pihak terbabit termasuk bank.

Katanya, langkah itu dibuat untuk mengelak pengguna terbeli kenderaan potong, curi, mempunyai sejarah jenayah atau kereta diubah suai tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Saya juga mengingatkan pemilik kenderaan supaya mengelak menggunakan orang tengah untuk melakukan pemeriksaan kenderaan sebaliknya datang sendiri ke Puspakom.

“Orang tengah mengenakan caj melampau hingga ratusan ringgit dan pemilik kenderaan boleh berjimat kerana kos pemeriksaan aitu antara RM50 hingga RM60 dan maksimum RM90. Bagi pemeriksaan kali kedua jika gagal, caj RM25 sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...