Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 2 December 2011

63 musang dirampas

ROMPIN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri berjaya merampas 63 musang pelbagai spesies daripada seorang lelaki Orang Asli berusia 23 tahun di Kampung Buluh Nipis, Ibam, Muadzam Shah di sini, kelmarin.
Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff berkata, hasil maklumat orang awam, pihaknya melakukan serbuan ke rumah lelaki terbabit dan menemui binatang berkenaan yang sudah dilapah tersimpan dalam peti sejuk dipercayai untuk diambil pihak kedua.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki terbabit mendapat bekalan haiwan berkenaan daripada penduduk setempat, selain dia turut aktif sebagai pemburu di kawasan hutan termasuk ladang kelapa sawit berhampiran penempatan mereka.

Katanya, selain menggunakan sumpit, haiwan berkenaan yang aktif pada waktu malam ditangkap menggunakan jerat dawai dan perangkap dengan umpan buah-buahan seperti nangka, cempedak dan pisang. “Kita difahamkan, lelaki yang ditahan bertindak sebagai peraih atau orang tengah dengan membeli haiwan terbabit daripada orang kampung dengan harga antara RM9 hingga RM15 seekor bergantung kepada saiz dan spesies.

“Musang berkenaan hanya untuk pasaran di beberapa daerah di negeri ini bagi memenuhi permintaan pemilik restoran haiwan eksotik yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan,” katanya di sini, semalam.

Khairiah berkata, untuk mengenal pasti spesies musang yang dirampas itu, pihaknya menghantar beberapa contoh ke jabatan kimia untuk dilakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum tindakan pendakwaan dilakukan terhadap lelaki yang ditahan.


Beliau berkata, di negara ini terdapat lebih lapan spesies musang dan hanya beberapa jenis saja diburu bagi tujuan hidangan eksotik, selain kulitnya dijadikan hiasan. Katanya, bagi kesalahan memiliki musang pulut dan musang tenggalung, mereka yang bersalah akan didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, bagi kesalahan memiliki musang akar, musang memerang, musang belang, musang lamri dan musang jebat yang dilindungi sepenuhnya, mereka terbabit boleh didenda RM500,000 dan lima tahun penjara “Kita akan terus melakukan pemantauan dan risikan bagi memastikan kegiatan menangkap musang tidak terus berlaku terutama di daerah ini. Tindakan tegas menanti individu yang terbukti melakukan kesalahan.

“Saya menasihatkan kepada masyarakat Orang Asli supaya tidak terbabit dengan kegiatan ini kerana undang-undang tidak mengenal siapa mereka. Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak.

“Rekod kita mendapati banyak kes di daerah ini membabitkan masyarakat Orang Asli yang melakukan kesalahan memiliki binatang dilindungi untuk tujuan perniagaan dan mereka menjadi orang tengah kepada individu lain,” katanya.

Khairiah berkata, sebagai contoh, bukti tindakan tegas sudah diambil apabila seorang Tok Batin Kampung Air Molek di sini, dihadapkan ke Mahkamah Kuantan pada Ogos lalu selepas didapati bersalah memiliki pelbagai organ binatang seperti harimau kumbang dan kijang.

Sehubungan itu, dia berharap pihak yang mengetahui adanya aktiviti menangkap, memiliki dan menjual binatang dilindungi supaya menghubungi pejabat Perhilitan negeri atau daerah. “Unit Penguatkuasa akan segera bertindak bagi menyekat aktiviti berkenaan daripada terus berlaku dan mengheret mereka yang terbabit ke muka pengadilan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...