Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday, 19 December 2011

Mak Mah tidak galak Adlin ikut jejak


mak mah
Nama Rominah Sedik atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah, tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni. Berusia 65 tahun, ibu kepada enam anak ini masih mencurahkan khidmat dan bakatnya dalam bidang seni. Bersyukur dengan kesihatan baik sehingga hari ini, Mak Mah, masih gagah beraksi di kaca TV dan di layar perak.

Malah jauh di sudut hatinya tidak pernah terlintas untuk bersara. Selagi khidmatnya diperlukan selagi itulah Mak Mah akan terus berlakon.
Pun begitu, menurut Mak Mah, dia sebenarnya tidak pernah menggalakkan anaknya mengikut jejaknya dalam dunia seni. Kata Mak Mah, dunia seni bukanlah seindah yang disangka, terlalu banyak dugaan yang harus ditempuhi.

“Kalau tak kuat, jangan cuba untuk dekat-dekat kerana banyak yang buruk akan menanti kita. Jika kita silap memilih jalan yang betul, kita akan gagal untuk menjadi manusia di dunia dan juga akhirat. Sebagai manusia, jangan terlalu kejar keduniaan kerana yang hakiki adalah akhirat kelak.

“Walaupun saya tidak galakkan, tapi ada juga anak saya yang ikut jejak (Adlin Aman Ramlie). Sebelum itu, Adlin terlebih dahulu meminta restu dari saya. Saya tidak melarang asalkan pandai bawa diri dan tahu asal-usul kita.

"Setakat ini, hanya Adlin seorang sahaja yang terlibat, yang lain ada kerjaya masing-masing,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran telemovie Parit Jawa, Tanah Kubur dan drama bersiri, Terowong.

Menurut Mak Mah, dia bagaimanapun bangga melihat pencapaian Adlin dalam industri seni. Kata Mak Mah, Adlin berjaya meletakkan dirinya di satu tahap yang baik dan punya kewibawaan tersendiri. Sebagai ibu dia sentiasa mendoakan terbaik buat Adlin.

Adlin tidak hina bapa
Bercerita mengenai penglibatan Adlin di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM), Mak Mah memandang positif apa saja kritikan daripada juri mahupun penonton.

“Pandangan saya menerusi mata seorang ibu, Adlin seorang yang kuat bekerja, tak suka bercakap perkara yang sia-sia, suka berfikir dan gentlemen.
“Itulah antara sifat Adlin yang saya nampak, tidak jauh berbeza dengan arwah bapanya, A R Tompel. Saya begitu terkejut apabila cara Adlin menjelaskan siapa bapanya di pentas MLM dipandang serong oleh sesetengah pihak.

“Bagi saya, tiada sebarang tanda dan kata-kata penghinaan pada persembahan Adlin. Kalau arwah masih ada sekalipun, saya tidak rasa arwah marah dengan penjelasan itu,” katanya yang sentiasa memberi sokongan padu kepada anaknya.

Mak Mah turut memberitahu, telatah anak-anak ada kalanya mengingatkan pada kenangan semasa arwah bapa mereka masih ada.

“Saya berkahwin empat kali dengan tiga suami. Kali pertama berkahwin pada 1963 dengan seorang tentera. Kedua dengan A R Tompel dan ketiga dengan ahli perniagaan. Kali keempat, saya berkahwin semula dengan suami pertama dan kesemuanya kini sudah meninggal dunia.

“Semasa A R Tompel meninggal, Adlin masih kecil lagi, baru pandai meniarap ketika itu. Sepanjang usia perkahwinan, saya dikurniakan enam anak dan 28 anak tiri (anak-anak suami dengan isteri terdahulu).

“Sekarang, saya mempunyai keluarga yang sangat besar dan kesemuanya sudah berjaya dengan kehidupan masing-masing,” katanya.

Sertai sandiwara radio

Menyusuri perjalanan awalnya dalam bidang seni, Mak Mah memberitahu, semuanya bermula pada 1958. Berikutan minat membuak-buak dalam bidang seni, Mak Mah mengikuti latihan dan kursus drama.

“Masa sekolah dulu, saya memang aktif dalam syarahan dan pidato di peringkat sekolah. Saya juga pernah memenangi pertandingan Syair peringkat Selangor.

“Lagipun, abah yang suruh saya menceburi kesemua bidang. Dia akan memberi sokongan kepada saya untuk terus menceburi sesesuatu bidang. Saya juga pernah menganggotai askar wataniah wanita.

“Saya mula berlakon di kaca televisyen pada 1965, menerusi drama bersiri Keluarga Tompel. Sebelum itu, saya terlibat dengan program di radio untuk sandiwara radio,” katanya yang turut membintangi drama Rumah Pondok Rumah Pangsa, Telatah Mak Mah dan Anak Bapak pada 1967.

Mak Mah bukan sahaja memiliki kebolehan dalam segi lakonan, malah dia turut mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan tarian.
Selesa jadi bomoh, hantu

Melihat pada lakonannya, Mak Mah, sering membawa watak mistik atau antagonis. Kalau bukan bomoh, pasti wanita misteri atau hantu.
Menurut Mah Mah, dia selesa membawakan watak sebegitu, sementelah sering mendapat tawaran sama daripada pengarah dan penerbit tempatan untuk membintangi drama dan filem mereka.

"Saya rasa, watak-watak ini sesuai dengan saya dan tak ada masalah untuk saya melakonkannya. Sehingga kini, saya masih banyak menerima tawaran seperti ini. Pada saya, ia adalah satu penghargaan," kata Mak Mah yang meninggalkan lakonan cukup berkesan dalam filem Jangan Pandang Belakang.

Walaupun usia semakin senja, Mak Mah, juga tidak keberatan melakonkan babak lasak. Malah dia pernah memanjat pokok yang tinggi demi memenuhi keperluan wataknya. Jelas Mak Mah, dia bersyukur kerana sehingga hari ini, dia tidak pernah mengalami kecederaan di lokasi penggambaran.

“Saya serah semuanya kepada ALLAH SWT. Tapi, dalam segi ketahanan, saya akui, ia adalah peninggalan ketika saya menyertai askar wataniah dahulu.

“Semasa mengikuti latihan ketahanan, saya tidak boleh ‘lembik’ dan sentiasa dicabar menerusi ketahanan badan. Untuk jadi tentera, kita kena kuat.

“Jadi, semangat itulah yang masih ada pada saya untuk diterapkan dalam bidang lakonan. Selebihnya serah kepada kuasa-Nya,” katanya yang kini menetap bersama anak-anak.

Soto Berlada warisan Mak Mah

Selain berlakon, Mak Mah, turut mengusahakan sebuah kedai makan, Warung Soto Berlada, yang terletak berhampiran dengan LRT Jelatek.

Malah penulis juga berkesempatan menemu bual Mak Mah di kedai ini. Ternyata sepanjang pertemuan ini, pelanggan tidak putus-putus datang menjamu selera.

Bukan sahaja pelanggan berdekatan, malah ada juga yang datang dari jauh, semata-mata untuk merasa penangan Soto Mak Mah yang sememangnya sedap.

Menurut Mah Mah, warungnya itu adalah warisan dan peninggalannya kepada anak-anak, setelah dia tiada nanti.

“Nama Soto Berlada diambil sempena dengan sitkom Santan Berlada yang pernah saya sertai dulu. Perniagaan ini saya buka sejak dulu lagi, tetapi terpaksa ditutup kerana tiada siapa yang ingin menguruskannya.

“Lima tahun lalu, anak-anak mula berhasrat untuk membuka semula dan memajukan warung ini. Saya bersetuju dan kini Soto Berlada sudah mempunyai sebilangan pelanggan tetap.

“Alhamdulillah, rezeki kami masih ada dalam bidang perniagaan ini dan masih laris. Walaupun hanya dibuka pada jam 3 petang hingga 11 malam, kedai tidak pernah sunyi dari pelanggan. Jika ada rezeki lebih, kami akan besarkan warung ini dan mendapatkan kawasan kedai yang lebih luas,” katanya yang mempunyai 15 pekerja, termasuk anak-anaknya.

Menurut Mak Mah, Warung Soto Berlada, pernah dikunjungi rancangan Jalan Jalan Cari Makan, yang disiarkan TV3.

Ditanya mengenai bayaran, seperti artis veteran lain, Mak Mah juga mengalami nasib sama. Tidak seperti di Hollywood, artis Malaysia 'susut nilainya' apabila usia semakin senja. Hanya mampu tersenyum, Mak Mah, bagaimanapun berharap agar ada pihak yang memperjuangkan nasib mereka.

“Masih ada yang bayar rendah dan tidak berbaloi dengan apa yang kita buat untuk projek mereka. Tapi, tidak semua begitu kerana masih ada yang bijak menilai titik peluh artis veteran.

"Mereka tidak mahu membuat pahala agaknya, sedangkan pelakon veteran seperti saya ni tidak akan berada lebih lama lagi dalam industri berbanding dengan artis muda.

“Jadi, apa salahnya mereka memberikan nilai yang sepatutnya kepada kita. Rata-rata pelakon lama akan mengalami nasib yang sama, jadi tidakkah mereka rasa perlu ada garis panduan untuk kami?,” katanya kesal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...