Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 19 December 2011

Lumayan menanti Pemenang Pingat Emas Sukan Olimpik



LEE Chong Wei
LEE Chong Wei
Chong Wei harus fikir keutamaan juarai Sukan Olimpik: James

LEE Chong Wei yang ‘makin penat’ diingatkan supaya segera mengalih tumpuan memburu ganjaran lebih lumayan - RM1.6 juta dan pencen bulanan RM5,000 dengan melakar sejarah muncul atlit sukan pertama negara memenangi pingat emas Sukan Olimpik, tahun depan.
Itulah gesaan bersifat ‘cemas’ beberapa pihak yang mula gelisah dengan prestasi dan tahap kecergasan pemain nombor satu dunia itu yang kian merosot selepas terlalu banyak menyertai kejohanan sepanjang tahun mengejar wang selaku pemain profesional.
Gambaran lebih perit - pemain kelahiran Pulau Pinang itu tewas buat kali ketiga tahun ini kepada pemain muda China, Chen Long di separuh akhir Final Siri Super Dunia di Liuzhou, Sabtu lalu.

Berdasarkan rekod, Chong Wei yang berjaya mengekalkan gelaran pemain nombor satu dunia sejak 2008 menyertai 15 kejohanan sepanjang tahun ini, mara dalam 11 pertandingan akhir serta memenangi tujuh kejuaraan.

Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj akur antara faktor utama pencapaian hambar Chong Wei disebabkan terlalu banyak menyertai pelbagai kejohanan tanpa membuat pemilihan wajar sesuai dengan usia.

“Dia tidak ada masa berlatih kerana baru tiba dua hari ke tanah air, dia terpaksa terbang ke luar negara lagi untuk menyertai kejohanan lain. Jadi, bila masa dia mahu berlatih bagi meningkatkan serta mempertajamkan pukulannya?

“Lagipun, Chong Wei perlu ingat dia sudah mencecah 29 tahun dan bukannya seperti Chen Long yang baru 22 tahun. Jadi, dia perlu berehat secukupnya untuk kembali pulih dan cergas,” kata bekas pemain itu.

James berkata, dia akan mengadakan pertemuan dengan Chong Wei dan ketua jurulatih, Rashid Sidek dan jurulatih Tey Seu Bock minggu depan untuk merangka program menjelang temasya terulung dunia termasuk menyaring pertandingan bakal disertainya.

“Bagi saya, tiga kejohanan paling ideal dia beraksi sebelum Sukan Olimpik 2012 adalah Terbuka Korea, Malaysia dan Seluruh England. Ini kerana pada Februari dan Mei dia perlu beraksi bersama pasukan dalam kempen Piala Thomas,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan ganjaran RM1 juta kepada atlit yang memenangi emas di Sukan Olimpik, manakala BAM menjanjikan insentif RM500,000 dan Telekom Malaysia Bhd (TM) sudah menyatakan persetujuan memberi imbuhan RM100,000. Pemenang emas juga akan menerima pencen bulanan RM5,000.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...