Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 14 December 2011

Jangan ragui proses pemberian surat tanah NCR - Manyin


KUCHING- Penduduk yang menyertai skim Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) di Bau-Lundu tidak sepatutnya meragui proses pemberian surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Ahli Lembaga Pengarah Salcra, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, semua tanah NCR yang dibangunkan di bawah skim Salcra bagi tanaman sawit akan disukat dan diberikan geran di bawah Seksyen 18, Ordinan Salcra serta ia kekal selama-lamanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri berkata, disebabkan sikap negatif dalam kalangan ahli masyarakat sendiri dan juga tindakan serta permainan politik segelintir pihak telah menyebabkan rakyat keliru dengan usaha kerajaan itu.
"Akibatnya ada yang keberatan untuk memberi maklum balas dan enggan menandatangani dokumen yang dikeluarkan oleh pihak Salcra dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
"Akhirnya, mereka sendiri yang ketinggalan dalam soal penerimaan surat hak milik tanah masing-masing," katanya pada majlis penyerahan surat hak milik tanah kepada peserta Salcra bagi kawasan Bau-Lundu di Dewan Serbaguna Estet Kelapa Sawit Stenggang, dekat Lundu hari ini.
Dalam pada itu, Manyin memberitahu, penduduk yang menyertai skim Salcra akan menerima pemberian dividen setiap tahun dan tidak timbul alasan kenapa para peserta tidak mahu memberi kerjasama kepada Salcra.
Justeru itu, beliau mengingatkan penduduk yang memiliki tanah supaya tidak mudah terpedaya dengan permainan politik pihak pembangkang yang mendakwa mereka mahu membela nasib rakyat dengan mengetengahkan isu-isu berkenaan NCR.
"Semua itu adalah dakwaan untuk mengelirukan rakyat dan berniat jahat untuk melihat proses menyukat tanah NCR tidak berjalan dengan lancar," ujarnya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 978 surat hak milik tanah dikeluarkan melibatkan seramai 870 penerima.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...