Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 15 December 2011

Ingat mati menyediakan bekalan akhirat


MATI pasti berlaku ke atas setiap yang bernyawa, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”
Dalam Islam dinyatakan dunia adalah persinggahan bagi manusia dan akhiratlah tempat yang kekal abadi. Itulah hakikat yang mesti diyakini setiap manusia.

Apabila jasad seseorang disemadikan di dalam kubur, tinggallah ia keseorangan, tanpa teman, harta, rumah dan segala-galanya.
Namun, Rasulullah SAW bersabda, bahawasanya: “Yang mengikut mayat itu sewaktu ke alam kubur ada tiga perkara, tetapi dua daripadanya akan balik dan tetaplah satu perkara yang kekal bersama si mati. “Kedua-dua perkara itu ialah keluarga dan hartanya, dan yang akan tinggal bersama-samanya ialah amalnya.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari) Kerana itu agama Islam menggalakkan kita sentiasa ingat terhadap mati kerana mengingati kematian boleh menyedarkan manusia supaya menyediakan bekalan akhirat bagi menghadap Allah SWT.

Bekalan amalan akan menentukan kita beroleh rahmat atau azab di alam kubur dan akhirat kelak. Jika baik amalan kita, baiklah yang diterima, sebaliknya jika buruk amalan, azab dan seksa yang akan kita terima.

Alam kubur adalah tempat permulaan tanda seseorang itu mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak.

Sebagai manusia beriman, kita perlu yakin janji Allah SWT. Jika baik amalnya, maka baiklah balasan diterima. Begitulah sebaliknya.

Hadis Imam At-Tarmidzi menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kubur itu adalah persinggahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, perjalanan selepasnya lebih mudah lagi. Jika tidak selamat, perjalanan selepas itu lebih sukar lagi.” Sesungguhnya nikmat dan azab kubur benar-benar berlaku dan bukan rekaan untuk menakut-nakutkan manusia berikutan ia termasuk dalam perkara Sam’iyat’ iaitu perkara ghaib yang hanya diketahui Allah SWT.
Rasulullah SAW selalu berdoa dilindungi daripada seksaan kubur walaupun diketahui baginda seorang yang maksum (terpelihara daripada membuat dosa).

Sebagai hamba Allah yang terpilih, baginda tetap berdoa dihindarkan daripada seksaan kubur, inikan pula kita hamba Allah yang tidak pernah lepas daripada melakukan perkara maksiat dan dosa.

Sememangnya semua orang tahu kubur adalah tempat orang yang meninggal dunia, tetapi adakah kita tahu bagaimana jasad kita sewaktu mati dan dikebumikan? Ketahuilah kubur akan menjadi taman syurga bagi orang yang beriman dan lubang neraka bagi orang yang tidak beriman yakni mereka yang sentiasa melanggar perintah Allah SWT.

Sebaik jenazah dikuburkan dan mereka yang mengiringinya pulang, akan datang malaikat Mungkar dan Nangkir menyoal tujuh perkara.

Soalan itu adalah: Siapakah Tuhan kamu, Siapakah Nabi kamu, Apakah agama kamu, Apakah kiblat kamu, Siapakah saudara kamu, Apakah pegangan iktikad kamu dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu? Semua soalan ini hanya dapat dijawab orang yang beriman serta beramal soleh walaupun sewaktu hidupnya ia tidak pandai dalam ilmu dunia yang lain serta tidak fasih berbahasa Arab.

Saat soalan dapat dijawab, kuburnya diluaskan dengan seluas-luasnya serta dipenuhi pelbagai nikmat yang berkekalan hinggalah dibangkitkan pada hari kiamat.

Namun bagi orang kafir dan kebanyakan manusia yang sering berbuat dosa ketika masih hidup, mereka tidak dapat menjawab pertanyaan Mungkar dan Nangkir walaupun ada di kalangan mereka tahu atau hafaz jawapan itu ketika hayat di dunia.

Golongan ini akan diazab, kubur mereka akan sempit dan menghimpit sehingga tulang mereka patah serta hancur hinggalah kedatangan hari kiamat.

Namun, bagi insan yang masih hidup, mereka tidak perlu risau seksaan Allah atas perbuatan yang pernah mereka lakukan dulu.

Ini kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang serta menerima taubat hamba- Nya.

Justeru, sentiasalah kita berusaha merubah diri, bertaubat dan memohon perlindungan Allah supaya kita mendapat rahmat-Nya.

Marilah kita muhasabah diri dengan memantapkan iman dan takwa. Jangan hanya mulut kata beriman, sedangkan tingkah laku tidak mempamerkan keperibadian seorang beriman, malah sanggup melakukan kemungkaran ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...