Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 13 December 2011

‘Flet Ikan’ busuk, loya


SERDANG: Busuk dan meloyakan! Begitulah keadaan terpaksa dialami lebih 2,000 penduduk pangsapuri Taman Seri Serdang atau dikenali sebagai ‘Flet Ikan’ dekat sini, apabila sampah dibuang ke dalam tiga tong sampah besar hanya diangkat dua kali seminggu oleh pihak dipertanggungjawabkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Orang luar turut membuang sampah di kawasan pembuangan sampah itu yang menyebabkan longgokan sampah bertaburan hingga ke jalan raya dan menyukarkan kenderaan melalui beberapa blok di pangsapuri berkenaan kerana terdapat sofa dan almari almari lama diletakkan di situ.
Penduduk, Chan Kok Meng, berkata bau busuk juga disebabkan terdapat peniaga makanan di beberapa kedai sekitar pangsapuri itu membuang sisa udang dan sotong hingga mengeluarkan air hanyir yang menyebabkan rasa tidak selesa di kalangan penghuni kerana bau itu naik ke atas rumah.
Beliau mendakwa, penduduk membayar caj perkhidmatan kepada pemaju dengan kadar minimum RM30 untuk kebersihan kawasan dan kerja baik pulih, namun pemaju dilihat tidak prihatin dengan kebajikan penduduk terutama apabila gagal mengambil tindakan terhadap orang luar yang membuang sampah di tong sampah besar perumahan terbabit.

“Kami ingin MPSJ mengutip sampah setiap hari atau dua hari sekali kerana tidak tahan longgokan sampah bertaburan hingga ke bahu jalan, selain terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

“Tidak dinafikan, terdapat tiga tong sampah besar disediakan untuk penduduk di sini, namun masih gagal menampung sampah akibat sikap tidak bertanggungjawab pihak luar yang datang membuang sampah di sini. Ada juga peniaga restoran terpaksa menanggung risiko kekurangan pelanggan kerana bau busuk ini,” katanya.

Peniaga, Siti Fatimah Ahmad meminta pemaju lebih tegas menangani masalah sampah berkenaan kerana pangsapuri itu mencatatkan banyak kes denggi, selain pemaju gagal membaik pulih masalah lampu jalan yang tidak berfungsi sejak sekian lama, menyebabkan kes kecurian tayar kenderaan kerap berlaku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...