Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Beberapa hospital tak cukup ubat

KUALA LUMPUR : Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan Kerajaan Umno BN yang lepas tangan dalam menjamin kesihatan rakyat.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Professional Muda dewan itu, Dr Ghazali Hasbullah menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar The Star, 7 Disember lepas yang menyebut terdapat beberapa hospital di Malaysia tidak cukup ubat seperti yang berlaku di Hospital Melaka.
“Hal yang sedemikian tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan Umno BN bersungguh‐sungguh menjamin kesihatan rakyat,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, usaha Malaysia mengejar taraf negara maju pun akan terbantut jika kesihatan rakyat diambil ringan oleh kerajaan Umno BN.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjadikan kebajikan rakyat dari sudut kesihatan sebagai agenda penting dalam pentadbirannya.
“Apa yang berlaku perlu disiasat dan kerajaan perlu menjawabnya dengan segera,” katanya.
Apa yang dikesalkan, ujarnya ialah dalam bajet kerajaan, peruntukan untuk kesihatan hanyalah 4.6% daripada jumlah GDP (Gross Domestic Product), sedangkan saranan WHO dan purata peruntukan negara‐negara di dunia adalah sebanyak 8.0%.
“Apa yang lebih dikesalkan ialah, pada masa yang sama penyalahgunaan dana awam dan kecuaian dalam tadbir urus kewangan telah berlaku dan sering kali diberitakan di dalam akhbar‐akhbar sedangkan dana tersebut boleh disalurkan untuk ubat‐ubatan bagi kegunaan rakyat,” katanya lagi.
Namun, ujarnya kerajaan Umno BN yang rakus lebih mementingkan kepentingan kroni dan peribadi daripada kepentingan rakyat Malaysia.
Tambahnya, lihat saja projek lembu NFC yang mendapat pinjaman mudah kerajaan sehingga RM250 juta, projek jejantas pejalan kaki di Kuala Lumpur dan lain‐lain projek yang penuh tanda tanya dan mengecewakan.
Itu, tambah beliau belum lagi ketirisan kewangan sebanyak RM52 bilion setahun yang sentiasa berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno BN.
“Siapakah yang terjejas di dalam hal ini?
“Adakah para kroni Umno BN, para menteri dan pegawai tinggi kerajaan?” soalnya.
Beliau menambah, rakyat yang miskin dan berpendapatan sederhanalah yang terjejas kerana mereka bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam.
Menurutnya lagi, meskipun kononnya kerajaan menitikberatkan tentang kesihatan rakyat dengan membina Klinik 1M, namun klinik itu tidak menyelesaikan masalah apatah lagi terdengar banyak rungutan bahawa semua jenis penyakit hanya dibekalkan dengan Panadol yang boleh dibeli dengan harga RM2 di kedai runcit.
Malah, ujarnya ianya seolah‐olah tidak berbaloi dengan kos pembinaan/pengubahsuaian serta kos pengurusannya yang menelan berpuluh
ribu setahun.
“Perkhidmatan kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Ia bukan suatu perkara yang boleh dilayan seperti gula‐gula politik dan hanya dijadikan sebagai perhiasan untuk digembar‐gemburkan menjelang pilihan raya,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...