Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Barca ungguli Clasico


MADRID: Barcelona mengatasi kejutan melepaskan gol ketika perlawanan hanya berusia 23 saat yang juga jaringan terpantas dalam sejarah El Clasico bagi mengatasi musuh tradisi, Real Madrid 3-1, awal pagi semalam dan melonjak ke tangga teratas La Liga.
Penyerang Perancis, Karim Benzema meledak gol awal untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada Real selepas penjaga gol Barcelona, Victor Valdes gagal mengeluarkan bola dengan baik.

Alexis Sanchez yang menjadi pilihan berbanding David Villa meledak gol penyamaan pada minit ke-30 selepas mendapat umpanan cantik Lionel Messi.
Rembatan Xavi pada minit ke-53 yang terkena kaki Marcelo melepasi jangkauan Iker Casillas di gawang Real untuk membolehkan Barcelona mendahului 2-1.

Cesc Fabregas (gambar) kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-65 menjaringkan gol dengan tandukan terbang selepas mendapat hantaran silang Dani Alves. Ia adalah jaringan ke-10 bekas pemain Arsenal dalam liga musim ini.

Real kini ketinggalan kepada Barca menerusi perbezaan gol selain kelebihan satu perlawanan namun keputusan ini menyebabkan kemenangan 15 perlawanan berturut-turut skuad kendalian Jose Mourinho itu lebur.

Juara bertahan, Barcelona kini tidak tewas dalam enam kunjungan ke gelanggang Real, Santiago Bernabeu namun jurulatihnya, Pep Guardiola menggesa pemainnya agar tidak terbawa-bawa.

Beliau sedar apabila skuadnya pulang dari Piala Dunia Kelab di Jepun, Real mungkin sudah berada di puncak liga kembali.
“Real akan kembali di puncak jika menewaskan Sevilla. Tiada gunanya hanya menjadi juara pada November atau Disember.” Beliau menambah: “Saya menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang lebih sukar buat kami. Ia adalah perlawanan yang selalunya kami memerlukan sedikit tuah.

“Madrid sentiasa mencipta peluang, ia sentiasa berlaku apabila saya ke sini namun secara keseluruhan saya gembira dengan cara perjalanan perlawanan ini.

“Saya tidak fikir keputusan ini akan mendatangkan bencana kepada Madrid, mereka akan bangkit dan terus menjadi seteru utama. Tiada apa yang diputuskan ketika ini dan begitu juga sekiranya kami yang tewas.” Mourinho mengakui keputusan itu mengecewakan, namun ia bukanlah perlawanan yang mudah.

“Pemain sedih namun tenang. Sebelum perlawanan kami mengatakan untuk mengawal emosi dan keputusan ini tidak akan berubah jika kami mendapat kelebihan enam mata atau terikat mata dalam liga,” katanya.

“Kami hanya tewas satu perlawanan dan jika menang selepas ini kami akan kembali menjadi pendahulu.” -AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...