Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

3G terkeluar


Kumpulan 3G yang disertai oleh Enot, Yassin dan Didie gagal meneruskan kemaraan dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega.


PENYINGKIRAN kumpulan 3G Jumaat lepas di Maharaja Lawak Mega (MLM) minggu keenam telah mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.
Ini kerana jika dilihat berdasarkan kepada persembahan kumpulan tersebut dari minggu ke minggu, jelas terdapat beberapa peserta lain yang kurang kelakar lawaknya berbanding 3G.
Bukan mahu memuji tetapi 3G yang dianggoti oleh Yassin, Didie Alias dan Enot merupakan antara peserta MLM yang muncul membuat persembahan pada setiap minggu, berjaya tampil secara konsisten dalam berlawak, bukan berlakon lawak.
Oleh itu, penyingkiran mereka pada minggu keenam pertandingan tersebut yang membawakan tema komedi muzikal nyata memeranjatkan penonton yang menyaksikan MLM secara langsung di Astro Warna.
Ketika ditemui sejurus selepas tamat siaran langsung MLM, Didie berkata, 3G akur dan menerima penyingkiran tersebut kerana baginya, Yassin dan Enot, penyingkiran adalah perkara biasa dalam mana-mana pertandingan.
"Sememangnya kami kecewa kerana tidak dapat bertahan lebih lama lagi dalam rancangan ini. Tetapi apa nak buat. Sudah menjadi adat pertandingan, pasti akan ada yang terkeluar dan kami terima sahaja keputusan seadanya.
"Tema minggu ini mempunyai huraian yang sangat besar. Terdapat pelbagai cara dan gaya persembahan yang boleh dilakukan untuk mendefinasikan apa itu komedi muzikal.
"Ini kerana dalam komedi muzikal, pelbagai aspek persembahan perlu diambil kira termasuk nyanyian, lakonan, gaya dan pergerakan tubuh serta lawak.
"Mungkin ada pihak yang dapat memahami persembahan kami secara keseluruhan dan mungkin juga ada pihak yang tidak berapa faham," katanya jujur.
Ditanya, apakah kritikan yang dilemparkan oleh juri mempengaruhi undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Didie terdiam sejenak sebelum memberikan jawapan.
"Memang pengaruh juri MLM amat besar dan mereka penentu kedudukan peserta untuk kekal atau tersingkir kerana 70 peratus pemarkahan peserta terletak di tangan juri.
"Selain itu, komen dan kritikan para juri sebenarnya mempengaruhi undian penonton walaupun peratusan SMS penonton sebanyak 30 peratus.
"Apa pun, kami 3G tidak menyalahkan barisan pengkritik yang bijaksana di atas penyingkiran kumpulan kami minggu ini kerana kami yakin tiga juri tetap dan seorang juri jemputan malam ini ada persepsi dan pilihan mereka sendiri," katanya lagi.
Seperti biasa, barisan pengkritik MLM terdiri daripada Datuk Chef Wan, Zainal Abidin Hassan, Datuk Siti Nurhaliza dan minggu lepas, juri jemputan ialah vokalis kumpulan Padi dari Indonesia, Fadly.
Selain 3G, peserta yang turut disingkirkan pada MLM minggu lepas ialah kumpulan Bawel yang berasal daripada Bandung, Indonesia.
Kumpulan Osbon mendahuli para peserta lain pada MLM lepas dengan memperoleh 71 markah, diikuti Adlin (65 markah), Syok (63), Boboi (62), Pimai (60), Bawal Power (57), Saehu (55) dan dua kumpulan yang tersingkir iaitu 3G (52) dan Bawel (49).
Kini hanya tinggal tujuh peserta yang masih berjuang untuk memenangi hadiah utama wang tunai sebanyak RM350,000 iaitu Osbon, Pimai, Syok, Saehu, Boboi, Bawal Power dan seorang peserta solo, Adlin Aman Ramlie.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...