Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 26 November 2011

15 minit bernilai RM 30,000

KUALA TERENGGANU: Tuah menyebelahi seorang pemandu trak tunda apabila ikan yang dinaikkannya selepas 15 minit Pertandingan Memancing Pantai Piala Monsun 2011, di sini, bermula jam 8 pagi semalam, menjadi juara untuk merangkul hadiah wang tunai RM30,000.

Roslan Hamzah, 36, dari Seberang Jertih, Besut, berkata beliau sudah menyertai beberapa siri pertandingan memancing GP Joran anjuran Berita Harian, tetapi tidak pernah memenangi sebarang hadiah.
“Selepas diberitahu penganjur saya adalah juara pertandingan ini, saya tergamam. Namun, saya bersyukur kerana rezeki ini dan berterima kasih kepada penganjur. Saya bercadang menggunakan wang ini untuk membesarkan perniagaan trak tunda yang saya usahakan.
“Sebenarnya saya tidak menyangka langsung boleh menang kerana pada awal pertandingan saya berdepan cabaran tali pancing putus. Namun, inilah dinamakan rezeki. Saya akan menyimpan sebahagian wang ini untuk perbelanjaan pendidikan tiga anak,” katanya.

Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed sambil disaksikan Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, Tan Sri Sabbarudin Chik dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Rosli Yusof.

Tempat kedua dimenangi A Ghafar Asnawi, 33, dari Terengganu dan menerima hadiah wang tunai RM10,000, manakala tempat ketiga Mohd Salaidin Ibrahim, 24, juga peserta tempatan memenangi wang tunai RM5,000. Selain wang tunai, semua pemenang turut menerima hadiah iringan sumbangan penaja antaranya UFL Coleman, TCE Tackle, Nestle dan Maggi.
Pertandingan anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Berita Harian itu menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM58,200 dengan pemenang pertama hingga ke-57 mendapat hadiah tunai selain dua cabutan bertuah, iaitu motosikal.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...