Surat cinta Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isterinya Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail mendapat bidaan paling tinggi apabila dibeli dengan
harga RM50,000 pada Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium
Melawati Shah Alam malam tadi.
Majlis makan malam yang bertujuan
bagi mengumpul dana pilihan raya Pakatan Rakyat itu juga turut
menyaksikan Wan Azizah membacakan surat 'cinta' yang ditulis Anwar
semasa beliau berada dalam penjara Sungai Buloh sebelum dibeli.
Surat itu dibida dengan harga pembukaan RM50,000 dan dibeli oleh ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin.
Antara
kandungan surat cinta itu bertulis supaya Wan Azizah berhati-hati dalam
memberikan makanan kepada Anwar dan menjaga anak-anak mereka.
"Saya
dah beri banyak barang untuk dilelong pada malam ini. Tetapi bila
ditanya apakah benda paling berharga atau apa-apa yang dari penjara,
lalu saya terfikirkan surat ini.
"Minta maaf jika saya menangis.
Tetapi semasa saya tengok surat ini pun saya sudah menangis. Surat ini
Anwar beri secara sembunyi dengan meletakkan di fail dokumen peguam,"
kata Wan Azizah sebelum membacakan surat tersebut.
Selain surat
'cinta' tersebut, terdapat beberapa lagi barangan milik pimpinan Pakatan
Rakyat yang dilelong untuk tujuan pengumpulan dana kewangan pilihan
raya.
Lukisan karikatur Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM
Anwar Ulhaque yang diberi nama '"Kuasa Rakyat" pula mendapat bidaan
kedua tertinggi apabila dibeli dengan harga RM32,000.
Kutipan penuh RM182,000
Zunar melukiskan karikatur itu secara langsung di atas pentas sebelum lukisan itu dibeli.
Antara
barangan milik pimpinan Pakatan yang menarik perhatian untuk dilelong
ialah sebuah patung beruang milik exco kanan kerajaan negeri Selangor,
Teresa Kok yang mendapat bidaan sehingga RM10,000.
Menurut
pengerusi majlis makan malam itu, patung beruang tersebut menjadi
peneman tidur Teresa selama beberapa tahun sebelum beliau dengan rela
hati memberinya untuk tujuan lelongan amal bagi mengumpul dana.
Antara
barangan lain yang dilelong ialah sebuah gambar dan tongkat milik
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dibeli dengan harga
RM12,000.
Gambar yang dilelong merupakan sebuah gambar yang
diambil sehari sebelum beliau dimasukkan ke hospital Universiti Sains
Malaysia Kubang Kerian bagi tujuan rawatan kesihatan manakala tongkat
tersebut merupakan tongkat yang sering digunakan oleh Nik Aziz.
Barangan
lain yang dilelong pada malam tadi juga ialah pen milik Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang digunakan untuk menulis surat semasa di
penjara Kajang yang dibeli dengan harga RM23,000, sebuah gambar yang
diambil pada tahun 80-an milik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang sedang bersantai ditepi laut beserta topi nelayan dibeli dengan
harga RM17,000.
Sebuah gambar Pengerusi DAP Karpal Singh juga
turut dibeli dengan harga RM12,000. Gambar dalam bentuk poster filem itu
turut ditulis dengan perkataan 'Singh is king'.
Gambar graduasi
hitam putih milik bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut
dibeli dengan harga RM15,000 dan sebuah gambar dan plat kubah milik
bekas presiden PAS, allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dibeli dengan
harga RM11,000.
Jumlah kutipan bagi keseluruhan hasil daripada bidaan ini ialah sebanyak RM182,000.
No comments:
Post a Comment