Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan
memperkasakan usaha mengutip cukai termasuk memberi tumpuan kepada
siasatan jenayah berbanding siasatan sivil terhadap pesalah cukai mulai
tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, langkah
itu bermakna, LHDN akan mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat dan
individu yang lewat atau tidak menyerahkan borang cukai.
''Kalau sebelum ini ada orang yang lewat atau gagal hantar borang, kita hanya mengambil tindakan sivil dan mengenakan penalti.
''Tetapi di bawah tindakan jenayah, kita akan bawa kes ini ke
mahkamah jika seseorang itu gagal menghantar borang dalam tempoh yang
ditetapkan, ini merangkumi semua kategori termasuk untuk e-Filing,"
katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.
Mohd. Shukor berkata, LHDN juga akan memantapkan tindakan jenayah
terhadap majikan yang memotong cukai daripada gaji pekerja tetapi tidak
memasukkannya kepada LHDN.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan bertolak ansur terhadap
kesalahan yang tidak disengajakan termasuk pembayar cukai yang lewat
menghantar borang buat pertama kali.
''Kita akan melihat rekod sama ada pembayar cukai itu selalu lakukan
kesalahan atau sebaliknya, apa yang penting ialah pembayar cukai mesti
serahkan borang.
''Ini bukan bertujuan menakutkan pembayar cukai tetapi mahu memastikan mereka memainkan peranan masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penurunan kadar cukai pendapatan yang
diumumkan dalam Bajet 2013 akan membolehkan golongan berpendapatan
kasar kira-kira RM3,000 sebulan tidak perlu membayar cukai.
''Sebelum ini mereka perlu bayar sedikit cukai tetapi untuk
pendapatan 2013, mereka mungkin tidak perlu membayar cukai," katanya.
Sementara itu, Mohd. Shukor berkata, orang ramai yang mempunyai
sebarang pertanyaan tentang Bajet 2013 dan soal cukai boleh mengemukakan
pertanyaan melalui talian 1-300-88-3010 atau emel ke callcentre@hasil.gov.my.
''LHDN juga akan menganjurkan seminar percukaian kebangsaan di 23
lokasi di seluruh negara untuk memberi keterangan lanjut berkaitan
perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan dan akta-akta lain.
''Satu topik khas mengenai siasatan jenayah cukai pada 2013 juga akan dikupas dalam seminar ini," katanya.
No comments:
Post a Comment